Meskipun bersikap memilih, penghibur terkenal Anuar Zain punya alasan tersendiri.
Seiring pengalaman hampir tiga dekad dalam industri seni, jejaka berusia 49 tahun ini mengakui berhati-hati dalam banyak perkara.
Begitu juga dalam pemilihan single terbaharu, Anuar menegaskan dia sangat teliti malah bersedia untuk mencuba genre baharu.
“Kebelakangan ini saya suka dengar lagu balada Korea yang susunan muziknya sangat menarik dan mudah dihayati.
“Saya teruja dengan balada Korea kerana yakin ia karya sedap didengar.
“Ditambah dengan padanan muzik gabungan orkestra, saya percaya karya dihasilkan akan menjadi lebih indah,” katanya.
Anuar berkata, pendengar masa kini sangat bijak dan peka dengan perkembangan muzik.
Jadi, katanya, sesuatu karya dihasilkan harus memiliki lirik yang kuat dan mudah melekat di hati.
Selain teliti soal lagu, Anuar juga sangat menjaga penampilannya.
Percaya karya dihasilkan akan menjadi lebih indah.
Tidak hairanlah mengapa dia sentiasa tampil kacak dan menjadi kegilaan ramai wanita.
Berbicara mengenai perkara itu, Anuar berkata, tiada sebab golongan lelaki perlu bersikap sambil lewa dalam penjagaan wajah.
“Sebenarnya, dalam apa saja karier diceburi penampilan dan imej perlu dititikberatkan. Wajah perlu nampak segar.
“Sebagai penghibur yang dikenali, saya amat mengutamakan penjagaan imej untuk tatapan peminat.
“Takkan saya nak muncul dengan wajah kusam dan tidak bermaya ketika menyanyi.
“Sudah pasti peminat tidak akan terhibur,” katanya.
Berikutan ramai yang bertanya apa rahsia penjagaan wajahnya, Anuar berasakan sudah sampai masanya dia menceburi dunia perniagaan.
Sebagai langkah pertama, pelakon filem Bintang Hati pada 2004 itu memberanikan diri mengeluarkan produk penjagaan wajah, Allevier Serum.
Produk itu mula dipasarkan tahun lalu menerusi laman Instgram (IG) miliknya.
Buat julung kalinya pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu akan memasarkan produknya di karnival jualan raya, Star Vendors Fest pada Ramadan