Adira Suhaimi aktif biarpun sarat mengandung




Penyanyi, Adira Suhaimi, 28, masih lagi aktif membuat persembahan walaupun kini, usia kandungan cahaya mata ketiganya sudah masuk enam bulan.

Adira berkata, dia akan menerima tawaran selagi masih mampu tampil membuat persembahan.

"Saya masih lagi aktif walaupun ada yang kata dah sarat. Kalau ada rezeki, saya tak akan tolak, tapi terhad untuk kawasan berhampiran dan tak terlalu jauh," katanya.

Ditanya sama ada suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red melarangnya daripada terlalu aktif membuat persembahan, Adira berkata, suaminya tidak pernah melarang.

"Suami tak bising pun dan tak pernah melarang saya membuat persembahan walaupun sedang mengandung. Dia tahu saya jenis yang tak boleh duduk diam," katanya.

Adira juga memberitahu, sewaktu mengandungkan dua cahaya matanya yang terdahulu, dia juga masih tampil membuat persembahan sehingga seminggu terakhir sebelum kelahiran.

"Pernah juga saya masih terima untuk membuat persembahan sehingga minggu terakhir sebelum kelahiran. Apa yang boleh saya katakan, tenaga yang ada, sebenarnya daripada penonton," katanya.

Ditanya mengenai kandungannya, Adira berkata, dia tidak mengalami alahan yang teruk memandangkan ini sudah kali ketiga buatnya.

Hasil perkahwinannya dengan Datuk Red, Adira dikurniakan dua cahaya mata iaitu Anggerik yang berusia dua tahun dan Assan, tujuh bulan.

Adira dijangka bersalin menjelang awal Ogos depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post