Sumpah janji Siti Nurhaliza




Utuh menggenggam gelaran penyanyi nombor satu negara, ternyata takhta pemilik suara emas itu tidak pernah tergugat dengan kemunculan pendatang baharu arena seni yang datang bersilih ganti.

Lebih dua dekad mengharungi jerih perih bergelar anak seni, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu masih kekal seimbang antara populariti dan kualiti dalam kelas tersendiri.

Umpama sirih pulang ke ganggang, Arena Axiata yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi dominan penyanyi yang kini berusia 40 tahun di pentas seni suara.

Kali pertama menjayakan Konsert Live Siti Nurhaliza kira-kira 20 tahun lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali menggegarkan Arena Axiata menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 pada Sabtu lalu.

Konsert jelajah tiga negara yang dibawa Shiraz Projects Sdn. Bhd. (Shiraz) tersebut menamatkan persinggahan di Kuala Lumpur dengan penuh bersejarah selepas mencatatkan kejayaan di Indonesia dan Singapura pada 21 Februari dan 2 Mac lalu.

Mengumpulkan lebih 10,000 peminat, tidak berlebihan jika digambarkan hanya pemilik nama Siti Nurhaliza merupakan artis tempatan bertaraf antarabangsa yang mampu meraih sokongan sehebat itu.

Mengalunkan 30 buah lagu, aura legenda pelantun Jerat Percintaan itu pantas menjampi hadirin dengan listrik vokal yang tiada cacat-cela sepanjang dua jam persembahan.

Reunion Sitizoners

Istimewa mengenai konsert Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur, beliau sendiri menyifatkan penampilannya pada malam tersebut umpama reunion dalam kalangan peminat yang ampuh menjunjung gelaran Sitizoners.

“Terasa seperti dejavu kerana di sini juga merupakan konsert pertama saya pada usia 19 tahun ketika itu.

“Pada malam ini bersama anda semua Sitizoners,” laungnya disambut jeritan peminat.

Menyarung persalinan tradisional mewah palet emas diraja sentuhan Rizman Ruzaini, pembukaan panggung dihangatkan dengan rantaian lagu tradisional seperti Badarsila, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Berhibur.

Meneruskan rentak irama tradisional Melayu, panggung rancak dengan lagu sentuhan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah menerusi lagu Nirmala, Balqis, Hati Kama dan Cindai.

Menjajah emosi setiap yang hadir bawah naungan Sitizoners, Siti Nurhaliza selesa mengimbau pelbagai kenangannya sepanjang menjayakan konsert.

Lebih sedekad didokong Sitizoners, wanita itu tanpa lekang menzahirkan ucapan penghargaan terhadap peminatnya.

“Saya sebenarnya sangat tersentuh dan menangis sebelum naik ke pentas melihat sambutan yang begitu hebat daripada peminat.

“Terima kasih kerana anda telah memilih untuk berada pada Konsert Siti Nurhaliza On Tour pada malam ini,” katanya sambil menyeka air mata.

Menamatkan segmen tradisional, pentas yang sama turut menyaksikan penyanyi itu merakamkan penghargaan terhadap dua sifunya dalam arena seni tempatan.

Sebak mengingati pengalaman sepanjang bekerjasama dengan dua komposer agung iaitu Allahyarham Pak Ngah dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Siti turut menjayakan segmen penghargaan buat dua tokoh itu.

Kejutan

Selain memperingati dua maestro muzik tersebut, Siti turut berduka terhadap tragedi hitam tembakan rambang yang menimpa Muslim di Christchurh, New Zealand dan dugaan pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

“Saya memohon kepada anda semua untuk sejenak menghadiahkan al-Fatihah kepada semua insan seni yang telah pergi, mangsa di Christchurch di New Zealand dan mangsa keracunan gas di Pasir Gudang,” katanya

Pengalaman selama 23 tahun bergelar penyanyi sementelah portfolio menjayakan lebih 10 konsert, Siti tidak kekok berinteraksi dengan peminat.

Pada malam tersebut, Siti membuat kejutan apabila memberi peluang kepada peminat mencadangkan dua buah lagu untuk dinyanyikan secara langsung tanpa muzik.

Biarpun tanpa iringan muzik, alunan Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Samaran mendapat tepukan gemuruh seisi stadium.

Tampil eksklusif dengan gaun merah rekaan Fizi Woo, Siti membuatkan stadium terpaku dengan deretan medley lagu berhantu miliknya seperti Cuba Untuk Mengerti, Intrig Cinta, Pastikan, Biarlah Rahsia dan Seindah Biasa.

Tidak ketinggalan melagukan Demi Kasih Sayang, penyanyi itu hampir sahaja membuatkan hadirin histeria.

Menyedari lagu tersebut meresapi dalam setiap jiwa peminat, Siti hanya membiarkan hadirin bersama-sama menamatkan lagu berkenaan dengan pelbagai memori bersama-sama.

Bertukar persalinan dengan rekaan Hatta Dolmat, Siti meneruskan momentum dengan dendangan berkonsep akustik.

Restu suami

Menarik menerusi segmen santai tersebut, peminat mendambakan lontaran dialog ‘Aafiyah anak ibu’ apabila Siti turut mengalunkan lagu khas untuk anaknya bertajuk Si Comel Pipi Merah. Kehadiran Siti Aafiyah yang kini berusia setahun menggamatkan suasana.

Pentas berduka seketika ketika Siti berkongsi memori hitam yang hampir meragut nyawa suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Mesra dengan panggilan Datuk K, Khalid ‘lumpuh’ selama empat bulan selepas terbabit dalam kejadian kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand kira-kira tujuh tahun lalu.

Berkongsi beberapa visual eksklusif yang belum pernah didedahkan kepada umum pada konsert berkenaan, Siti menyalurkan segenap emosi dalam lagu Jaga Dia Untukku.

Di pentas yang sama, Siti memberitahu peminat bahawa keberadaannya dalam industri sehingga kini adalah berkat restu dan keizinan suami.

“Terima kasih kerana mengizinkan saya terus menghiburkan anda. Tanpa restu dia, saya tidak boleh terus berada di sini,” katanya yang disambut tepukan gemuruh peminat.

Melabuhkan tirai persembahan dengan lagu daripada album SimetriSiti bertajuk Bersandar Cinta, Siti terpaksa memujuk peminat yang enggan berganjak.

Seluruh dewan nyata masih mendambakan Siti untuk kembali berdendang biarpun terpaksa akur meninggalkan stadium.

Kelat menyusun kata-kata, Siti akhirnya membuat perjanjian untuk memujuk peminatnya supaya beredar.

“Semua masih tunggu saya menyanyi? Beginilah, janji dengan Siti jika ada konsert selepas ini, anda kena datang,” katanya sambil melambaikan tangan kepada para peminat.

Dia lentera Timur yang menyinari pentas seni dengan cahaya dari langit. Dia juga seperti padi yang semakin berisi semakin menunduk ke bumi. Demikian resmi pemilik nama Siti Nurhaliza yang kekal disayangi biarpun ‘bertakhta’ sebagai penyanyi nombor satu Nusantara.

Post a Comment

Previous Post Next Post