Selain kisah putus tunang pelakon Remy Ishak dengan wanita bernama Ezza Yusof dan perceraian Rashidi Ishak dengan Vanida Imran selepas hidup bersama selama 17 tahun, nampaknya di celahan berita panas itu terselit nama Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta.
Ironi, ia tiada kena mengena dengan isu perpisahan, sebaliknya Che Ta sekali lagi menjadi kecaman netizen gara-gara pelakon cantik itu menggayakan cermin mata hitam besar di majlis hari jadi anak Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah Khalid, baru-baru ini.
Pada pandangan netizen, penampilan Che Ta itu terlalu berlebih-lebihan apatah lagi majlis tersebut dilakukan dalam tempat tertutup. Komen-komen pedas itu diterima Che Ta selepas pelakon drama Kak Marr itu berkongsi foto-fotonya di Instagram.
Barangkali terlalu banyak komen yang menghentamnya, Che Ta akhirnya menutupi ruangan komen pada setiap gambar kehadirannya di majlis hari jadi Aafiyah berkenaan.
Ternyata, segala kecaman bertubi-tubi yang diterima Che Ta tidak menghadirkan sekelumit rawan di hatinya. Kebenarannya, dakwa Che Ta, dia mengalami sakit mata ketika itu dan tidak mahu menghampakan jemputan daripada tuan rumah.
“Orang nak kritik saya tak kisah. Janji, niat saya mahu memenuhi jemputan daripada tuan rumah. Pada saya, sakit mata ini perkara kecil dan tidak elok sekiranya saya mungkir janji. Kecualilah, kalau saya demam sampai tidak larat hendak bangun,” ujarnya menerusi kiriman WhatsApp kepada Sensasi Bintang.
Menggali lubuk rasa pelakon berusia 46 tahun itu, Che Ta menyifatkan segelintir masyarakat yang gemar mencari salahnya tidak mempunyai nilai diri yang baik.
“Saya sebenarnya sedih dengan masyarakat yang suka mengkritik padahal tidak tahu hujung pangkal cerita. Bagi saya nilai diri yang baik diukur melalui akhlak dan akhlak yang baik memberikan gambaran hati kita yang baik,” jelasnya.
Disoal mengenai kemelutnya dengan bekas pemandu pula, Che Ta memberitahu, dia terpaksa bertindak membawa perkara itu ke peringkat undang-undang selepas lelaki itu gagal mengemukakan permohonan maaf kepadanya.
“Kes tersebut akan ke peringkat seterusnya, jadi saya tak boleh nak komen lebih-lebih,” ulasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, kongsi Che Ta, buat masa ini jadual seninya padat dengan rakaman program bersama juara program Pencetus Ummah musim kedua, PU Azman dan juga Pakar motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad.
Mengulas lanjut, kata Che Ta, program berkenaan akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti.