Rashidi Ishak merawat hati




Selepas tujuh bulan bercerai, Rashidi kini dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan solo.

Tenang menjawab setiap soalan, pelakon, Rashidi Ishak tampaknya bersedia merungkai setiap persoalan mengenai punca perceraiannya dengan aktres Vanidah Imran.

Ketika ramai beranggapan mereka masih lagi berstatus suami isteri, pengumuman perpisahan dalam laman Instagram Rashidi pada Rabu minggu lalu ternyata mengejutkan ramai pihak.

Netizen bukan sahaja terkejut dengan pengakhiran rumah tangga yang berusia 17 tahun itu, tetapi juga hakikat bahawa mereka sebenarnya telah sah berpisah sejak 9 Ogos tahun lalu.

Memasuki tempoh tujuh bulan menyandang status duda, Rashidi yang sedang mempromosikan filem terbaharunya berjudul Bu turut sempat berkongsi mengenai fasa hidup tanpa wanita bergelar isteri.

Bagaimanakah keadaan anda selepas kembali bujang?

RASHIDI ISHAK: Kami sudah boleh menerima haluan masing-masing. Kehidupan tidak sama seperti dahulu kerana kini saya solo dan hidup seorang diri.

Sejujurnya, sehingga kini saya masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu. Perasaan saya masih dalam proses pemulihan.

Walaupun kami berpisah, kami masih berkomunikasi antara satu sama lain. Kami menjalinkan hubungan yang baik demi anak-anak.

Mengapakah anda mengambil tempoh yang lama untuk berkongsi mengenai perceraian?

Pada peringkat awal, saya tidak mengumumkan perkara ini demi menjaga maruah kedua-dua buah keluarga.

Selepas beberapa bulan, saya hampir berkongsi mengenai berita ini dalam media sosial. Tetapi saya batalkan hasrat itu kerana Vee (Vanidah) sedang membuat persediaan larian maraton ke Tokyo, Jepun. Saya tidak mahu fokus dia terganggu akibat tindakan melulu saya berkongsi berita ini.

Bagaimanapun, saya berasa tindakan mengumumkan perkara ini adalah tepat demi kebaikan kami berdua.

Apakah faktor utama yang mendorong anda akhirnya berkongsi mengenai berita perceraian kepada umum?

Sepanjang tempoh tujuh bulan itu, ramai masih menganggap saya dan Vee sebagai suami isteri. Setiap kali hadir ke majlis seorang diri, mereka sering menyampaikan salam terhadap Vee dengan merujuk dia sebagai isteri.

Perkataan isteri bermain di minda saya saban hari sedangkan kami bukan lagi pasangan suami isteri. Selepas berfikir secara mendalam, saya berpendapat sudah tiba masanya umum mengetahui mengenai status kami.

Selain itu, meletakkan diri sebagai personaliti yang dikenali umum, saya perlu memikul tanggungjawab ini.

Apakah perasaan anda selepas membuat pendedahan mengenai perceraian kepada umum?

Selepas membuat pengumuman itu, saya berasa tidak selesa. Apatah lagi memikirkan spekulasi dan tohmahan awam. Saya juga membuat keputusan itu tanpa pengetahuan Vee.

Bagaimanapun, apabila bangun keesokan harinya, saya berasa ‘ringan’. Perasaan itu umpama satu bebanan yang besar akhirnya diangkat daripada bahu saya.

Apakah punca perpisahan anda dan bekas isteri?

Saya tidak boleh berkongsi mengenai punca kegagalan perkahwinan kami kerana ia terlalu peribadi.

Apa yang boleh saya katakan, kami sudah tidak mempunyai persefahaman. Kami juga berpisah dengan baik selepas melakukan perbincangan rapi.

Anak-anak juga memahami dan menerima keputusan kedua ibu bapa mereka dengan matang.

Saya juga ingin tegaskan di sini tiada unsur pihak ketiga dalam perpisahan kami.

Adakah kerana kecewa, fizikal anda susut mendadak?

Berat saya dahulu 88 kilogram kini 68 kilogram. Saya aktif dengan larian maraton sejak dua tahun lalu. Saya kurus bukan kerana kecewa, tetapi persediaan mengikuti maraton menyebabkan berat badan susut.

Apakah projek terbaharu anda?

Saya akan tampil dengan sebuah filem berjudul Bu arahan anak tempatan yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Saya juga menguruskan perniagaan haruman jenama Starraskyparfums.

Apakah tarikan filem Bu sehingga anda bersetuju untuk membintangi karya ini?

Karya ini sarat dengan pelbagai konflik. Bagaimanapun pengakhiran menjurus pada satu isu yang saling berkaitan. Saya bersetuju menjayakan Bu kerana ingin bekerja dengan pengarah muda, selain skrip filem yang begitu menarik. Antara faktor lain adalah barisan pelakon yang cukup hebat. Saya berharap filem ini akan mendapat sambutan dan sokongan peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post