Bertatih cara Aprena Manrose




Mungkin ramai berpendapat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga seni atau mempunyai pertalian darah dengan orang ternama, peluang untuk mencipta karier dalam bidang yang serupa adalah sangat cerah.

Namun, persepsi tersebut kurang sesuai untuk mendefinisikan perjalanan seni pelakon baharu, Aprena Manrose.

Bergelar sepupu kepada pelakon adik-beradik Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose, Aprena masih utuh mencipta nama, walaupun terpaksa bersaing dengan puluhan bakat baharu.

“Saya sedar, nama saya masih kurang popular berbanding pelakon lain. Sejujurnya, saya tidak pernah mengutamakan populariti dalam kerjaya.

“Asalkan saya masih menerima tawaran berlakon dan bekerja, sudah memadai,” katanya.

Tambah Aprena, dia tidak mahukan jalan pintas, sebaliknya lebih selesa membina nama dari bawah.

“Kalau fikir mahu popular dalam masa yang cepat, saya menjadi risau populariti tersebut tidak mampu bertahan lama.

“Setakat ini, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan,” ujar Aprena yang sentiasa positif terhadap perkembangan kerjayanya.

Mengakui masih kurang dikenali dalam kalangan pelakon, Aprena menjelaskan, dia percaya rezekinya akan tiba suatu hari nanti.

“Saya sentiasa percaya terhadap rezeki. Jika rezeki sudah tertulis, pasti akan tiba.

“Dalam masa yang sama, saya tidak terlalu memilih. Diberikan watak heroin atau pembantu, saya tetap jayakannya dengan sehabis baik,” katanya sambil tersenyum.


Filem

Mula dikenali menerusi drama bersiri Tiada Arah Jodoh Kita, rezeki Aprena bagaimanapun lebih tertumpu dalam arena perfileman.

Bermula dengan lakonannya dalam Awang Gerudi yang diterbitkan pada 2018, Aprena bakal muncul dengan tiga buah filem pada tahun ini iaitu Jodoh Syaitan, Ratu Kala Jengking dan Bulan & Pria Terhebat.

Sungguhpun teruja menantikan ketiga-tiga filem berkenaan, Aprena menjelaskan, masih banyak perkara tentang dunia lakonan yang perlu dipelajari.

“Saya berasa sangat bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Bukan senang untuk menerima tawaran berlakon filem.

“Biarpun masih hijau dalam industri, saya diberi peluang untuk bekerja dengan pengarah dan penerbit tersohor,” katanya.

Justeru, menurut pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman itu, kesibukan di lokasi penggambaran filem mendatangkan kesukaran untuknya memberikan komitmen pada penerbitan drama.

Banyak juga tawaran berlakon drama yang terpaksa ditolak kerana tarikh berselisih dengan jadual penggambaran filem,” katanya lagi.

Bapa

Biarpun sudah hampir tiga tahun bergelar anak seni, khalayak hanya mengenali Aprena sebagai sepupu kepada Uqasha dan Nelydia.

Sehinggalah baru-baru ini, wanita berusia 25 tahun itu mendedahkan bekas penyanyi dangdut, Iwan merupakan ayahnya.

Pendedahan yang dilakukan di Instagram itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai respons dalam kalangan peminat. Ada yang terkejut, malah tidak kurang meninggalkan komen berbaur kecaman.

“Tidak sangka pula niat saya mahu berkongsi cerita disalah anggap oleh pengikut. Saya rasa gambar tersebut biasa sahaja. Cuma, ada yang tidak berpuas hati dan menuduh saya tidak menghormati imej ayah yang pada ketika itu sedang berserban.

“Bagi saya, individu yang meninggalkan komen berbaur kecaman itu lebih teruk daripada apa yang dia tulis mengenai saya,” tegas Aprena.

Terlanjur berbicara mengenai ayahnya, Aprena ditanya adakah dia ingin mengikuti jejak langkah Iwan dan bergelar penyanyi.

Jawab pelakon drama Leftenan Zana itu, dia memang berminat terhadap bidang nyanyian dan ingin mencuba nasib jika diberikan kesempatan.

“Saya suka menyanyi. Kalau diberikan peluang, saya mahu mencuba pelbagai genre muzik termasuklah genre balada.

“Barangkali ada yang akan melabel saya sebagai seorang yang tamak. Tetapi, kalau sudah meminati sesuatu bidang itu, apa salahnya saya mencuba?” jawab Aprena dengan yakin.

Peribadi

Beralih tentang kisah peribadi, Aprena yang mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016 berharap dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, rezeki masih belum ada. Saya dan suami berharap agar dikurniakan anak secepat mungkin.

“Kalau boleh, saya pada penghujung tahun ini saya mahu bergelar ibu,” kongsi Aprena jujur.

Berkenaan kontroversi yang melanda kakaknya, Octovia Manrose yang didakwa keluar berparti bersama pelakon Alif Aziz baru-baru ini, Aprena memohon agar perkara tersebut tidak dipanjangkan.

“Kalau boleh, saya tidak mahu memanjangkan perkara ini. Saya berharap, segalanya akan berakhir dengan baik,” ujar Aprena yang juga merupakan sahabat baik kepada Bella Astilah iaitu isteri kepada Alif Aziz.

Post a Comment

Previous Post Next Post