Noryn Aziz jaga peminat, anak




Sewaktu menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kelima pada tahun lalu, penyanyi Noryn Aziz memang antara nama yang disebut-sebut sebagai juara.

Ternyata, telahan umum itu tidak meleset apabila dia berjaya membuktikan bahawa gelaran itu sememangnya merupakan hak miliknya yang sudah dibawa sejak empat bulan lalu.

Penglibatannya dalam program itu ternyata memberi satu perubahan drastik terhadap landskap dirinya sebagai anak seni dalam industri hiburan tempatan.

Mana tidaknya, sebelum menyertai GV, penyanyi yang dikenali dengan pembawaan lagu-lagu bergenre jazz itu lebih terarah kepada sasaran terhadap sebahagian kelompok kecil pengikut aliran muzik yang dibawanya sahaja.

Peminat

Bagaimanapun, kini penyanyi yang menginjak usia 43 tahun itu cuba menjadi seorang penyanyi yang boleh mendekati segenap lapisan peminat. Dengan erti kata lain, pelantun lagu Fantasi O Realiti itu kini sudah cenderung kepada penonton yang lebih bersifat massa.

“Perubahan terbesar yang saya alami kini adalah peminat saya. Barangkali jika dahulu, saya seperti tidak ada peminat seperti sekarang. Saya agak terkejut. Bahkan, sewaktu muncul buat pertama kali di pentas GV, saya seolah-olah menerima kejutan budaya (melihat respons daripada peminat).

“Maklumlah, sebelum ini saya sudah terbiasa apabila membuat persembahan (korporat) penonton dalam kalangan mereka yang nak keluarkan bunyi sikit pun susah nak kedengaran. Sekali sewaktu di GV saya dapat penonton yang lebih ‘mass’,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Biarpun begitu, pemilik nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz itu melahirkan rasa bersyukur dengan penerimaan baik yang diterimanya daripada orang sekeliling. Apatah lagi dengan penubuhan kelab peminatnya, Norynyzer, kini hubungannya dengan individu yang banyak memberi sokongan menjadi lebih akrab.

“Saya betul-betul menghargai mereka yang menyokong saya selama ini. Saya sampai terdetik ‘macam ini sekali mereka sanggup lakukan rupanya kalau mereka minat artis’.

“Alhamdulillah, kelab peminat pun baru ditubuhkan juga. Jadi, kini saya mengikuti program kelab bersama mereka termasuklah karaoke dengan peminat. Sekarang ini, saya fikir lebih kepada bagaimana saya ingin menghargai mereka pula,” kongsinya.

Dalam pada itu, sebagai orang berpengalaman yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia hiburan, Noryn akui pendekatan yang digunakan golongan artis kini turut berubah.

“Sekarang ini, lebih mudah berbanding dengan zaman dahulu. Kita boleh kongsi muzik sendiri, muat naik di YouTube, dari situ mereka sudah boleh ketengahkan muzik mereka.

“Apatah lagi dengan kehadiran sosial media. Ia jadi lebih senang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap mengenai hasrat nak mempromosikan sesebuah lagu itu. Ia memang satu platform yang bagus untuk sesiapa sahaja,” katanya yang bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Lepas yang dihasilkan oleh komposer terkenal Ajai.

Seiring dengan perubahan kelompok peminatnya itu juga, kata Noryn lagu itu nanti bukanlah sebuah lagu berbentuk jazz sepenuhnya.

“Lagu itu boleh katakan 80 peratus berentak pop. Tinggal dalam 10 peratus sahaja kot (jazz). Saya tidak boleh lari terus, sebab itulah identiti saya,” ceritanya yang memberitahu lagu itu sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan kehidupan yang dilaluinya kini.

Keluarga

Biarpun sibuk dalam membangunkan karier muziknya, kata Noryn, pada masa sama, keluarga tetap menjadi keutamaan. Tanggungjawab sebagai seorang ibu tidak akan sesekali diletak ke tepi.

Apatah lagi putera kesayangannya, Raja Bariq Umar Shah Raja Kamarul Bahrin kini sedang membesar yang sentiasa memerlukan perhatian lebih daripadanya. Justeru, kata Noryn, dia mahu anaknya itu membesar di hadapan matanya.

“Nak dapat pun bukan sekejap. Tunggu empat tahun juga. Tahun ini Umar sudah menginjak usia lima tahun. Sejak usia dia tiga tahun lagi saya sudah hantar ke tadika. Jadi rutin saya setiap hari, selepas Subuh memang tidak boleh ‘jumpa’ katil lagi dah.

“Memang saya yang menguruskannya sendiri untuk hantar ke sekolah dan mengambilnya pulang balik daripada sekolah. Saya tidak ada menggunakan khidmat pembantu rumah, kerja-kerja rumah sendiri buat sahajalah,” jelasnya yang kini dalam proses perceraian dengan suaminya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Bagaimanapun, kata Noryn, sekiranya dia terlibat dengan kerja, ibunya yang duduk bersamanya akan membantu menjaga Umar sewaktu ketiadaannya.

“Kita berkahwin bukan untuk wang ringgit atau status, tetapi untuk kasih sayang dan mahu membina sebuah keluarga. Itu yang saya impikan. Bagaimanapun, dugaan dan ujian Allah, sudah tertulis begitu. Sebagai manusia kita tidak boleh elak,” luahnya.

Biarpun begitu, menurut Noryn, dia yakin dengan kemampuan dirinya untuk terus berdepan dengan segala rintangan yang mendatang. Ini kerana katanya, dia seorang wanita yang cukup berdikari.

“Kita ini perempuan adakalanya, emosi naik turun juga. Bagaimanapun, saya selalu mengambil pendekatan positif. Benda paling penting adalah bagaimana kita ingin menghadapi.

“Saya selalu berdoa agar Allah itu memberikan kebijaksanaan untuk saya menghadapinya kerana ia (perceraian) melibatkan orang lain, anak dan diri sendiri. Apatah lagi ia satu keputusan yang sangat besar,” kongsinya.

Noryn menganggap apa yang dilalui itu kini merupakan satu perkara yang bukanlah asing.

“Sebolehnya, saya mahu memberikan inspirasi kepada wanita di luar sana untuk terus mempunyai keazaman dan kesungguhan yang tinggi.

“Lagipun isu perceraian ramai wanita di luar sana yang lalui, cuma mungkin disebabkan saya ini selebriti, hal itu jadi lebih ke depan,” katanya yang bakal mengadakan konsert Soul Sisters bersama Siti Sarah dan Misha Omar pada bulan depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post