Nora Danish takut buka media sosial




Tanpa berselindung, pelakon jelita, Nora Danish mengakui dia takut untuk membuka media sosial disebabkan terlalu banyak perkara negatif dan terdedah kepada pelbagai risiko.

Nora, 37, bagaimanapun berharap supaya pengguna media sosial tidak mudah terpengaruh dan cepat percaya dengan apa yang mereka lihat.

"Saya sendiri takut untuk buka media sosial kerana terlalu banyak perkara negatif. Tetapi, saya tidak dapat mengelak kerana perlukan medium itu untuk karier dan perniagaan.

"Apa pun, saya berharap supaya umum tidak mudah percaya dengan apa yang mereka lihat terutamanya di media sosial," katanya yang ditemui ketika sambutan ulang tahun kedua produk Sahi Sarang Burung di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dia memohon supaya masyarakat sentiasa berhati-hati ketika menggunakan media sosial dan mengelak daripada menjadikan medium itu sebagai tempat meluahkan perasaan.

Bagaimanapun Nora yang meraih populariti menerusi sitkom komedi Puteri itu berkata, dia enggan mengulas lanjut kerana bimbang tersalah cakap dan mengguris hati mana-mana pihak.

"Sebenarnya, susah untuk saya komen. Kalau berada di tempat mereka pun, entah apa akan saya buat.

"Bagaimanapun, ada baiknya simpan cerita peribadi ini untuk diri sendiri dan cuba elakkan daripada menulis di media sosial. Simpan keburukan orang kerana suatu hari nanti kita mungkin dapat maafkan mereka.

"Sebagai manusia, ada kalanya kita tersasar. Kita tidak mahu kongsikan tetapi apabila terlalu sakit, akhirnya media sosial menjadi tempat meluahkan perasaan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post