Sejak membuat laporan polis pada Jumaat, beberapa individu sudah melakukan permohonan maaf.
Pelakon Jasmin Hamid mendedahkan tindakannya melakukan laporan polis terhadap lebih 15 orang netizen bukan hanya disebabkan mereka menghina anak angkatnya yang dikenali sebagai Rohana, tetapi keselamatan anaknya itu kini turut berada dalam bahaya.
Kata Jasmin atau nama sebenarnya, Jasmiah Abdul Hamid, angka netizen yang dikenal pasti mengutuk anaknya kini sudah meningkat kepada 23 orang. Bagaimanapun, selepas melakukan laporan polis lima orang netizen telah melakukan permohonan maaf melalui pesanan terus (DM).
“Jumlah netizen yang dikenal pasti sekarang sudah jadi 23 tiga orang. Mereka ingat dengan menggunakan akaun palsu dan melontarkan kutukan boleh melepaskan diri begitu sahaja. Zaman sekarang senang sahaja untuk mengesan siapa di sebalik akaun palsu.
“Saya ingin mengambil tindakan undang-undang bukan hanya kerana Rohana dikutuk atau menghadapi buli siber, namun tindakan kurang bertanggungjawab segelintir netizen telah menyebabkan keselamatan anak saya terancam. Termasuklah orang sudah tahu di mana tempat anak saya bekerja sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Kata pelakon filem Anaknya Sazali itu, sejak membuat laporan polis pada Jumaat, beberapa individu sudah melakukan permohonan maaf.
“Ada lima orang yang sudah mohon maaf kepada saya menerusi DM di Instagram. Adakah saya akan menarik keputusan untuk menyaman kalau mereka sudah mohon maaf, itu terpulang kepada peguam yang menguruskan kes ini nanti.
“Anak saya sampai murung disebabkan apa yang berlaku. Bukan hanya dibuli dalam media sosial, netizen telah mendedahkan tempatnya bekerja sehingga menjejaskan keselamatannya. Kata polis, jika ada keadaan atau individu yang mencurigakan, dia harus segera menghubungi pihak polis untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” terangnya lagi.
Dalam pada itu, Jasmin menjelaskan ramai yang mempersoalkan tindakannya seperti sengaja mencari perhatian dengan menggunakan status Rohana sebagai anak yatim.
“Dia anak angkat saya. Saya menjaganya sejak usianya empat tahun dan dia anak yatim. Kalau dia ingin berkahwin kelak perlu mencari walinya atau mengggunakan wali hakim,” ujarnya.
Sebelum ini, Jasmin pernah mendedahkan ada dalam kalangan netizen menghina wajah anaknya seperti seorang maknyah.
Rohana atau mesra disapa sebagai Cicik, 29, diambil sebagai anak angkat oleh Jasmin ketika pelakon itu berusia 20 tahun.
Selain Rohana, Jasmin, 46, turut mempunyai seorang lagi anak angkat bernama Lukhman Hakim, 23, dan anak kandung iaitu Ian Haziq yang kini berusia 18 tahun.