Zulkifli bakal berhadapan dengan hukuman mati.
Retno iaitu isteri kepada penyanyi yang terkenal menerusi lagu Aishiteru iaitu Zulkifli terkejut apabila mendapat tahu suaminya terlibat dengan pengedaran dadah.
Menurut laporan Kapanlagi, Retno berasa keliru dengan berita tersebut memandangkan Zulkifli atau Zul tidak pernah menunjukkan tanda-tanda yang mencurigakan apabila berada di rumah.
“Saya keliru apabila mendapat tahu mengenai suami saya terlibat dengan dadah. Sebab tak ada yang mencurigakan. Zul juga baik-baik sahaja di rumah,” katanya ketika dihubungi pihak media.
Zul ditahan di apartment Gading River View, Jakarta Utara pada 1 Mac lalu selepas polis menahan beberapa rakannya pada 28 Februari lalu.
Vokalis kumpulan Zivilian itu ditahan ketika sedang membungkus dadah jenis syabu seberat 9.5 kilogram dan 24,000 pil ekstasi.
Berdasarkan siasatan awal, Zul mengakui baru dua kali mengedar dadah dan bakal berhadapan dengan hukuman mati.
Selain itu, polis juga memaklumkan, Zul berkemungkinan menjalankan jual beli dadah dari luar negara berdasarkan beberapa barang bukti.