Ifa Raziah Tiada isu sailang




Ifa Raziah bergambar bersama vendornya di PWTC hari ini.

Penyanyi Ifa Raziah menafikan dakwaan wujudnya isu sailang susulan penganjuran Star Vendors Raya Fest yang bakal diadakannya pada bulan Ramadan nanti.

Ifa yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors berkata, penganjuran festival yang dianjurkannya itu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan oleh pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi festival.

"Saya memang pernah bekerjasama dengan penganjur sebelum ini. Cuma tahun ini saya pula bertindak sebagai penganjur.

"Tiada isu caras-mencaras yang wujud di sini. Saya pun tiada isu perselisihan faham antara saya dengan penganjur sebelum ini, " katanya ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di PWTC di sini hari ini.

Ifa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kononnya wujud dakwaan mengatakan dia menyailang sebuah penganjuran festival jualan 72 jam yang berlangsung setiap tahun di PWTC selama ini.

Kata Ifa lagi, tawaran untuk menganjurkan festival tersebut baru sahaja diterima daripada pihak PWTC semalam.

"Sebagai usahawan, saya juga melalui proses pitching untuk mendapatkan lokasi bagi mengadakan festival ini.

"Selama dua minggu saya berurusan dengan pihak PWTC sebelum diberi kepercayaan oleh mereka untuk menjadi penganjur selepas membuat bayaran tempahan," katanya.

Jelasnya lagi, dia berharap penjelasannya itu dapat menjernihkan segala kekeliruan yang mungkin wujud dalam kalangan vendors selama ini.

Star Vendors yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 24 Mei nanti bakal menampilkan penglibatan lebih 40 artis tempatan dan luar negara.

Antaranya termasuklah Fattah Amin, Fazura, Erra Fazira, Randy Pangalila dan Datuk Awie. -

Post a Comment

Previous Post Next Post