Fokus Zizan Razak untuk keluarga




Zizan Razak tidak melatah dengan keakraban hubungan pelakon Mira Filzah dengan Remy Ishak kerana menyifatkan wanita itu adalah rakan rapatnya dalam industri.

Seiring kematangan usia, pelakon dan pelawak Zizan Razak menyedari bahawa kualiti masa berharga untuk diluangkan bersama keluarga tersayang adalah perkara paling penting.

Disebabkan itu, Zizan, 35, mengakui fokus hidupnya kini lebih tertumpu kepada keluarga terutama kedua ibu bapanya.

Hal ini kerana, kerjaya seorang pelakon yang menuntut komitmen masa yang panjang di set penggambaran mewujudkan batasan antara tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga.

Ikuti penjelasan berkenaan perkara tersebut daripada Zizan ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem Saya Jual Ye Bang baru-baru ini.

Dalam telefilem Saya Jual Ye Bang anda membawa watak sebagai seorang suami dan lelaki matang. Adakah anda sudah bersedia untuk meneroka watak sebegitu?

ZIZAN RAZAK: Sebenarnya penerbit dan penulis skrip yang bertanggungjawab dalam memberi peluang kepada seseorang pelakon untuk mencuba pelbagai watak. Saya akui dahulu tidak pernah diberi peluang untuk membawakan watak sebegini dengan alasan saya seorang pelawak. Tambahan pula mentaliti industri kita yang sering meletakkan batasan terhadap seseorang artis. Jika dia seorang pelawak, maka kerjanya hanya melawak. Sedangkan seorang pelawak itu juga adalah pelakon yang mempunyai kelebihan membuat lawak. Saya ambil contoh seperti pelakon Fikry Ibrahim yang boleh membawa apa sahaja karakter biarpun dia pelawak. Sebab itu saya berpandangan, industri kita perlu mengubah mentaliti sebegitu.

Adakah sukar untuk anda membawakan watak serius?

Jujur saya katakan tidak sukar. Mungkin orang fikir disebabkan saya jenis suka melawak, jadi sukar untuk berlakon serius. Ironinya, lakonan tidak kira serius mahupun lawak adalah sama asalkan perlu faham skrip dan jalan cerita. Namun, saya tidak boleh hakis sisi humor untuk naskhah Saya Jual Ye Bang kerana telefilem ini bergenre romantik komedi.

Bagaimana dengan kehidupan dan kerjaya anda setakat ini?

Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Fokus saya sekarang lebih kepada keluarga. Sementara masih ada ruang, saya ambil kesempatan ini untuk meluangkan lebih masa bersama ibu dan bapa. Kerja dalam bidang seni sangat sibuk. Jika sudah mula bekerja, masa saya bersama keluarga amat terhad. Pernah juga saya tidak bertembung dengan ibu selama seminggu walaupun kami tinggal sebumbung.

Adakah anda cuba mengurangkan lakonan demi masa bersama keluarga?

Bukan begitu. Berlakon tetap berjalan seperti biasa, sebab itu punca rezeki saya. Malah, saya akan mula menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof. Cuma perspektif saya terhadap kehidupan telah berubah. Dahulu, selagi ruang kosong dalam jadual saya akan isi dengan kerja. Tetapi sekarang saya sedar ada masanya kita perlu berfikir tentang perkara lain terutama kesihatan dan keluarga. Ada kalanya kita dikurniakan kerja yang bagus, tetapi terlupa dan terlepas banyak perkara penting dalam kehidupan.

Menyentuh berkenaan perkembangan hubungan anda dengan Mira Filzah. Apakah komen anda apabila peminat suka melihatnya bersama dengan Remy Ishak?

Berkenaan hal Remy, jangan tanya saya. Rasanya lebih baik disoal kepada Mira sendiri sebab saya tidak boleh memberi sebarang komen. Saya tiada kaitan dengan hal tersebut. Sekalipun peminat suka gandingan mereka, hubungan saya dengan Mira tetap sama. Kami tetap berkawan seperti biasa buat masa ini.

Baru-baru ini anda dipuji netizen kerana menyelamatkan seekor kura-kura yang sesat di tengah jalan raya. Boleh bercerita lanjut berkenaan perkara tersebut?

Saya tidak sangka video tersebut menjadi sohor kini. Niat saya pada waktu itu cuma mahu menyelamatkan kura-kura berkenaan daripada digilis oleh kenderaan. Saya seorang pencinta haiwan, jadi apabila ternampak haiwan di tengah jalan, saya sanggup bahayakan diri untuk mengambilnya sebelum dilepaskan ke dalam sebuah tasik di Shah Alam, Selangor.

Post a Comment

Previous Post Next Post