Nama pelakon Fendy Bakry dan Alif Satar disebut-sebut bakal membintangi drama bersiri ketenteraan terbaru terbitan JS Pictures Sdn Bhd.
Fendy, 31, atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri ketika dihubungi mengakui mendapat tawaran daripada penerbit, Sheila Rusly dan menyifatkan ia satu penghargaan buat dirinya.
“Satu penghargaan apabila mendapat tawaran daripada Sis (Sheila) dan JS Pictures yang sememangnya kita tahu hasil karya mereka yang berkualiti. Sebagai contoh drama Leftenan Zana yang memberi ‘rating’ yang tinggi hingga menjadi buah mulut orang ramai.
“Sejujurnya, andai diberi keyakinan dan kepercayaan, Insya Allah saya cuba untuk beri yang terbaik juga.
“Siri ‘combat’ ini sebenarnya saya suka. Saya juga pernah menjadi komander dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), jadi asas itu sudah ada,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fendy, dia juga bersedia untuk dikerah seluruh tenaga apabila membintangi drama itu nanti.
“Kadang-kadang orang selalu cakap yang JS Pictures ini macam-macam. Bagi saya mereka mendidik pelakon dan kru dengan cara yang sangat bagus. Dari situ disiplin terjaga.
”Kasar itu tidak menjadi masalah, apa yang penting kita berada di bawah satu bumbung yang harmoni. Jadi, saya sedia menurut perintah,” katanya.
Ditanya apa yang membuatkan dirinya tertarik untuk terbabit dalam siri ini, Fendy berkata, konsep dan jalan cerita dipaparkan adalah untuk menanam semangat cintakan negara.
“Karya ini lain daripada lain yang mana menerapkan semangat dan rasa cintakan pada negara.
“Kita dapat lihat bagaimana daya usaha pasukan tentera yang sememangnya bekerja keras dan bertungkus lumus dalam menjaga keamanan negara.
“Dengan itu, secara semulajadinya kita dapat melatih jati diri dan sikap disiplin kita. Ia secara tidak langsung juga mendidik diri untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro, Sheila nekad untuk tidak menerbitkan Leftenan Zana 2 walaupun ia mencatat 25.5 juta tontonan secara keseluruhan sepanjang tempoh tayangan di TV3.
Sebaliknya, Sheila berkongsi bakal menerbitkan sebuah lagi drama bercorak ketenteraan tahun depan.