
Mengapakah Ameera Khan begitu popular? Adakah dia dikenali ramai kerana sekadar menggalas status sebagai adik tiri kepada pengacara dan pelakon Neelofa? Mungkinkah juga dia menjadi sangat popular kerana sering dikelilingi orang ternama dalam industri hiburan?
Barangkali, pertanyaan sebegini yang kerap diutarakan pengguna media sosial tatkala membelek gambar-gambar yang terpamer dalam akaun Instagram milik gadis berusia 18 tahun itu.
Tentulah, biarpun masih dalam fasa usia remaja, jumlah pengikut Ameera di Instagram kini telah mencecah angka satu juta.
Secara tidak langsung, Ameera merupakan satu-satunya individu bukan selebriti dan ahli politik yang meraih pengikut seramai itu.
Ironi, kehadiran Ameera dengan nama Little Miss Khan di Instagram bukanlah atas kerelaan dirinya sendiri. Mengimbau kembali bagaimana akaun Instagramnya wujud, Ameera berkata, segalanya bermula ketika usianya 13 tahun.
“Kak Neelofa (panggilan untuk Neelofa) yang mendaftarkan akaun Instagram saya secara diam-diam.
“Dia hanya memberitahu saya tentang perkara ini pada keesokan harinya setelah jumlah pengikut meningkat sebanyak 20,000,” tutur Ameera membuka bicara.
Tidak putih mata dengan jumlah pengikut yang ramai, Ameera sebaliknya berasa sebal dek komen-komen yang ditinggalkan pengguna Instagram pada gambar pertama yang dimuat naik oleh Neelofa.
Kecaman
“Walhal, gambar pertama yang Kak Neelofa muat naik adalah gambar saya berpakaian sopan, tetapi, saya tetap menerima kecaman.
“Ketika itu, perasan saya bercampur, marah dan kecewa,” katanya.
Namun, kecaman yang diterima pada usia yang muda sedikit sebanyak mematangkan Ameera untuk mengharungi sebarang kebarangkalian pada hari yang mendatang.
“Sewaktu saya mengambil keputusan untuk menanggalkan hijab beberapa tahun lalu, saya menerima kecaman yang lebih teruk.
“Tetapi, disebabkan sudah lali, saya langsung tidak terkesan dengan komen-komen yang ditinggalkan. Dalam masa sama, saya juga tidak cepat panas dan tidak mudah untuk melenting,” katanya lagi.
Ditanya mengapakah khalayak begitu obses dengan Ameera, ini jawapannya: “Saya sendiri tidak tahu kenapa ramai suka melihat saya, tetapi apa yang pasti kebanyakan daripada mereka mahu mengetahui tentang adik-beradik serta keluarga Neelofa.
“Banyak hal tentang rutin harian saya yang menjadi perhatian. Selain apa yang saya gayakan, pengikut juga suka mengambil tahu apa yang saya ada. Itu kegemaran mereka,” katanya sambil ketawa.
Perniagaan
Tidak keterlaluan dikatakan, hubungan Ameera dan platform media sosial begitu akrab. Disebabkan keakraban tersebut juga dia mampu untuk merealisasikan impiannya bergelar usahawan kosmetik menerusi jenamanya sendiri, LMK Cosmetics.
Di sebalik perniagaannya itu, mungkin ramai yang tidak tahu Ameera bukanlah seseorang yang terlalu menggemari wajahnya dioles mekap.
“Saya sebenarnya tak suka mekap. Sebelum serius dengan bisnes, saya hanya suka mengumpul dan membeli alat-alat solek. Beberapa tahun lalu, saya pernah membeli 161 batang gincu dan merakamkan momen tersebut di Snapchat. Tanpa disangka, saya terus menjadi tular!
“Jadi, disebabkan ramai yang mengetahui saya gemarkan produk kosmetik, saya terus mencadangkan kepada ibu tentang hasrat untuk menceburi bidang perniagaan. Alhamdulillah, ibu bersetuju dan memberikan sokongan 100 peratus,” katanya sambil tersenyum.
Dilancarkan pada Mei tahun lalu, respons pengguna terhadap LMK Cosmetics cukup memberangsangkan.
“Sejak LMK Cosmetics dipasarkan, stok sering kehabisan. Jadi, saya merancang untuk mengeluarkan beberapa koleksi baharu pada pertengahan dan hujung tahun ini demi memenuhi permintaan pengguna,” katanya sambil memberitahu LMK Cosmetics dijual dengan tanda harga yang berpatutan.
Boleh dianggap sebagai produk sulung kebanggaannya, Ameera berkata, kejayaan yang dicetuskan oleh LMK Cosmetics menjadi pencetus semangat buatnya untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
“Keluarga saya kebanyakannya terlibat dalam bidang perniagaan. Sebagai contoh, sebelum wujudnya jenama Naelofar Hijab, ibu pernah menjual tudung di rumah.
“Walaupun ketika itu saya masih kecil, namun, saya berasa seronok membantu ibu mengira stok dan mencatat bayaran yang dibuat oleh pelanggan
“Mungkin disebabkan pengaruh itu, saya menjadi suka terhadap bidang perniagaan. Saya berharap agar perniagaan LMK Cosmetics ini dapat berkembang dengan lebih maju pada masa akan datang,” katanya.
Pengacara
Fokus utamanya tentulah perniagaan, namun Ameera turut berhasrat untuk menceburi bidang seni dan bergelar pengacara.
“Untuk tahun 2019, saya ingin mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.
“Jika diberikan peluang, saya mahu cuba mengacarakan rancangan hiburan seperti Kak Neelofa,” katanya.
Biarpun bercita-cita mahu bergelar pengacara, Ameera sedar penguasaan bahasa Melayunya kurang memuaskan.
“Saya sedar yang penguasaan bahasa Melayu saya sangat lemah. Tetapi, tidak jadi masalah.
“Saya akan cuba memperbaiki kelemahan tersebut supaya sesuai untuk muncul di kaca televisyen,” katanya lagi.
Sebelum menutup perbualan, Ameera ditanya, adakah dia tidak bimbang sering dikaitkan dengan Neelofa.
Jawab Ameera ringkas: “Saya tidak kisah sebab dia Neelofa,” tutupnya.