Sharul perlu lebih kreatif bagi memastikan namanya kekal relevan.
Bagi memastikan namanya kekal relevan dalam industri muzik tanah air, penyanyi Sharul Kamal berasakan dia perlu muncul dengan idea kreatif supaya namanya tidak dilupakan peminat.
Sharul atau nama sebenar Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 22, berkata dia harus bijak mencari identiti sendiri agar tidak tenggelam dengan kehadiran bakat baharu.
"Saya kena buat sesuatu yang boleh buatkan orang kenal saya sebagai Sharul Kamal dan bukan orang lain. Mungkin saya perlu lebih kreatif dan kena cari identiti sendiri tapi bukan dengan cara memburukkan nama.
"Saya akui bukan mudah untuk kekalkan nama tapi saya anggap itu sebagai cabaran dan jika kita percaya pada diri, kita boleh berjaya," katanya kepada mStar Online.
Sharul menjadikan Akim Ahmad sebagai idola.
Meskipun perlu bersaing dengan penyanyi baharu yang lebih berbakat, bekas peserta Akademi Fantasia 2015 ini berpendapat kemunculan mereka akan memeriahkan lagi industri hiburan.
"Sekarang ini kalau sebut fasal artis baharu atau BBNU memang ramai, macam cendawan tumbuh selepas hujan. Tapi ia bagus untuk industri kerana makin ramai pelapis baharu berbakat besar.
"Kita tak tahu mungkin satu hari nanti ada antara BBNU ini dapat mengharumkan nama negara dengan bakat yang mereka ada," katanya.
Sharul harap lagu terbaharunya diterima ramai pendengar.
Bercakap mengenai single terbaharunya berjudul Cantik, Sharul berharap lagu ciptaan Hang Nadim, Laq serta Bunga Cantik ini akan menerima sambutan pendengar dan di mainkan di stesen radio tempatan.
Malah, video muzik (MV) yang dimuat naik di laman Youtube pada 28 Februari lalu telah menerima lebih 100,000 tontonan.
"Kali ini saya tak mahu mengharapkan apa-apa, cukuplah lagu ini diminati pendengar, dimainkan di radio dan kekal dalam carta.
"Apa-apa pun saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan terutamanya Akim dan Stacy kerana mempercayai saya untuk membawa lagu ciptaan mereka ini," ujarnya.