As'ad Motawh Insiden peluk bukan gimik




Penyanyi As'ad Motawh menegaskan insiden dia dipeluk oleh peminat wanita ketika sedang membuat persembahan bukanlah gimik seperti yang didakwa warganet.

Kata As'ad, dia sama sekali tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku dan rakaman video juga jelas menunjukkan bahawa dia agak terkejut dengan tindakan wanita berkenaan.

"Itu bukan gimik. Kalau tengok video pun dengar suara saya sumbang kerana terkejut dengan tindakan wanita berkenaan. Saya sendiri tidak sangka dia boleh naik ke pentas dan buat begitu.

"Selepas insiden itu, pihak pegawai keselamatan bawa dia keluar tetapi saya rasa bersalah dan bawa dia masuk balik. Kemudian, saya beri ‘pass meet and greet’ sebab menganggap dia adalah peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni," katanya.

Menurutnya, dia sudah melihat wanita itu terlompat memberikan sokongan ketika dia menyanyikan lagu pertama.

Kemudian, wanita berkenaan tiba-tiba hilang dan muncul di atas pentas.

"Saya nampak dia antara penonton yang terlompat memberikan sokongan ketika menyanyi. Sebaik saja saya nyanyikan lagu kedua, dia muncul atas pentas dan berlakulah kejadian itu.

"Kalau mahu buat gimik pun, bukan begitu. Saya masih tahu moral. Saya orang Islam, tahu perkara seperti itu tidak elok," katanya.

As'ad hadir sebagai duta Honor 10 Lite pada jelajah jenama telefon bimbit itu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post