“Saya bukannya eksklusif atau ‘demand’ untuk muncul dalam mana-mana program terbitan stesen televisyen tempatan sebaliknya bayaran yang ditawarkan tidak setimpal dengan persembahan,” kata penyanyi popular Anuar Zain ketika mengulas dakwaan dirinya menolak untuk menjayakan program televisyen ketika ini.
Menurut Anuar, 49, dia mengakui sudah lama tidak muncul dalam program terbitan stesen televisyen sejak lebih 10 tahun lalu.
“Saya tidak memandang rendah pada program televisyen tempatan atau mahu mengekalkan nilai eksklusif sebagai penghibur.
“Sebaliknya bajet yang ditawarkan pada saya tidak munasabah langsung.
“Sedangkan kos untuk saya buat sesuatu persembahan juga tinggi membabitkan jurutera bunyi, solekan, baju dan sebagainya,” katanya.
Anuar ditemui pada sidang media sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) Charity Gala 2019 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah berkira soal bayaran untuk muncul dalam program televisyen tempatan sebelum ini.
“Pada awal pembabitan dalam bidang nyanyian dulu, saya memang tidak berkira soal bayaran walaupun bajet ditawarkan lebih rendah daripada kos dikeluarkan untuk persembahan.
“Seiring dengan kos yang semakin meningkat, saya juga perlu memilih tawaran persembahan atau program yang lebih sesuai dengan bajet,” katanya.
Mengulas sambutan Minggu Setiausaha pada tahun ini pula, kata Anuar, dia juga sudah lima tahun tidak menjayakan program terbabit.
“Sudah 10 tahun terbabit dengan sambutan Minggu Setiausaha dan pada pandangan saya ia masih relevan lagi.
“Namun, banyak syarikat yang kurangkan bajet untuk program Minggu Setiausaha ketika ini.
“Tapi jika ada tawaran yang sesuai dan menepati bajet saya akan mempertimbangkannya,” katanya.