Aiman Tino minta BBNU hormat artis senior




Penyanyi, Aiman Tino, 21, meminta penyanyi yang bergelar Budak-budak Baru Nak Up atau BBNU supaya menjaga hubungan dengan artis lebih senior.

Menurut Aiman yang juga pernah bergelar BBNU di awal kemunculannya, ia penting untuk memastikan hubungan baik sesama artis itu wujud.

"Saya pun masih baru, tapi pesanan kepada BBNU baru muncul dalam industri, jagalah hubungan baik dengan mereka yang lebih senior.

"Bukanlah maksud saya, mereka perlu hormat saya walaupun terlebih dulu menjejakkan kaki di dalam industri, tapi jaga hubungan baik itu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia juga baru-baru ini ada mendengar cerita kurang enak mengenai artis BBNU.

"Ada juga saya dengar cerita mengenai artis BBNU meluahkan kepada seorang rakan, mengatakan dia tak minat genre muzik yang saya bawakan.

"Saya tak kisah pun kerana itu adalah pendapatnya dan minat orang berbeza," katanya.

Namun, dia juga mengakui bahawa kehadiran artis baru menambah warna dalam industri seni muzik Malaysia.

"Dengan kehadiran mereka, industri muzik kita lebih berwarna-warni dengan pelbagai karya baru," katanya.

Terbaru, Aiman kini sedang mempromosikan single barunya, Terlerai Sebuah Janji yang sudah mula memasuki carta radio tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post