42 filem bertanding pada FFM30




Dari kiri Khalid, Timbalan Pengerusi Induk FFM30, Khairul Azhar, Penasihat FFM30, Datuk Samsuni Mohd. Nor dan Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal pada sidang akhbar FFM30 di Hotel Dorsett Hartamas hari ini.

Sebanyak 42 buah filem terbitan tempatan layak dipertandingkan bagi merebut trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-30 (FMM30) yang bakal berlangsung pada 30 Mac depan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 buah filem berbahasa Malaysia dicalonkan manakala lapan buah filem pula bagi Bahasa Mandarin, tujuh filem Bahasa Tamil dan dua filem Bahasa Kantonis.

Bagaimanapun, menurut Pengarah FFM30, Abd. Khalid Maulod, senarai top 5 akan diumumkan pada sebuah majlis sidang akhbar dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, hanya filem-filem yang layak bertanding sahaja diumumkan.

“Senarai top 5 untuk setiap kategorikan akan diumumkan kelak,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar FFM30 di Hotel Dorsett Hartamas di sini sebentar tadi.

Antara filem dicalonkan pada acara berprestij itu termasuk Munafik 2, A House of Happiness, Paskal, Dukun, Hantu Kak Limah, Sughamaai Subbulakshmi dan Tombiruo.

Turut tercalon adalah One Two Jaga, Operasi X, Guang, Pulang, Polis Evo 2 dan Kutram Seiyal.

FFM30 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 malam.

Majlis tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Dalam pada itu, FFM30 edisi kali ini mempertandingkan 24 kategori termasuk tiga anugerah khas iaitu Anugerah Penggiat Belakang Tabir, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dan Anugerah Box-Office.

Post a Comment

Previous Post Next Post