Liku seni sedekad Marsha Milan




Mengimbau kenangan 14 tahun lalu, pentas final Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) menyaksikan seorang gadis Sabah teresak-esak menumpahkan air mata selepas gagal menyempurnakan tugasan sebuah lagu.

Lemah di atas pentas, Marsha Milan Londoh yang pada ketika itu berusia 21 tahun, terpaksa ditenangkan juri.

Bertempat di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur baru baru ini, air mata pemilik nama Marsha sekali lagi tumpah depan khalayak. Namun air matanya kini, bukan air mata kegagalan.

Sebaliknya air mata tersebut bersulam banyak emosi, semuanya bersenandung pengalaman dan perjuangan selama bergelar anak seni.

“Maafkan saya,” ungkap Marsha ringkas setelah dirinya kembali tenang untuk meneruskan wawancara.

“Selama tiga bulan, saya dan pengurus peribadi bertungkus lumus untuk mengeluarkan single terbaharu berjudul Bimbang ini. Selepas melihat hasil keseluruhan, saya sangat berpuas hati,” katanya sambil menyeka air mata.

Emosi

Semakin larut dalam emosi, Marsha yang kini berusia 35 tahun mengakui melalui pelbagai fasa kehidupan yang mematangkan.

Sementelah merasakan single terbaharunya berjudul Bimbang umpama rangkuman perjalanan sebagai insan, Marsha berkata, lagu tersebut berkait rapat dengan kehidupannya.

“Kali pertama mendalami bait lirik lagu berkenaan, hati saya berdetik. Kemudian ketika rakaman dilakukan, saya seperti menemui jati diri.

“Saya bermonolog sendirian, inilah identiti muzik yang saya inginkan,” luahnya penuh jujur.

Tambah Marsha, biarpun lagu berkenaan berkisar mengenai kecurangan dan kebimbangan seorang wanita dalam mempertahankan sesebuah hubungan, Marsha menyuntik perasaan berbeza dalam lagu tersebut.

Kongsi pelakon filem 7ujuh itu, dia mempunyai perspektif yang berbeza tatkala meneliti lirik lagu Bimbang.

“Saya merakamkam lagu ini dengan sepenuh perasaan. Saya melihat lagu ini dari sudut perspektif berbeza selain daripada kisah pasangan curang semata-mata,” ujarnya.

Menurut Marsha, roda kehidupannya sejak bergelar artis kemudian membuat keputusan memeluk Islam, antara emosi yang digarap untuk menyampaikan Bimbang.

“Umum mengetahui keputusan paling besar yang saya buat sepanjang dalam hidup adalah memeluk agama Islam.

“Sejujurnya, keputusan itu bukan perjalanan yang mudah,” kongsinya yang sukar meneruskan perbualan.

Ketika ditanya mengenai fasa selepas hampir empat tahun bergelar Muslim, Marsha hanya melemparkan senyuman dan enggan berkongsi lebih lanjut.

“Proses itu amat peribadi dan biarlah saya pendam,” tuturnya.

Kali terakhir tampil dengan single bertajuk Ku Bersumpah duet bersama Qodi, kali ini untuk Bimbang, Marsha menjalinkan kerjasama dengan Amylea Azizan dan Farouk Roman.

Amylea Azizan bertindak sebagai penulis lirik manakala Farouk Roman bertindak selaku komposer. Gandingan tersebut pernah mencipta fenomena menerusi lagu Tak Pernah Hilang yang turut dinyanyikan secara duet oleh Amylea dan Kaer.

Berbicara lebih lanjut mengenai Bimbang edaran Seventeen Eleven Music itu, Marsha berkata, dia tidak terikat dengan syarikat berkenaan.

“Saya masih bergerak secara solo kerana selesa untuk bergerak sendiri. Kerjasama bersama Seventeen Eleven Music hanya melibatkan proses edaran dan mempromosikan lagu,” ulasnya.

Runut bunyi

Bercerita lebih lanjut mengenai Bimbang, Marsha berkata, lagu yang turut dilancarkan bersama muzik video itu mengambil masa selama tiga bulan untuk disempurnakan.

Bergerak secara solo telah memberi tekanan kepada Marsha untuk memastikan produk tersebut berkualiti ketika menemui peminat.

Beban tekanan bertambah apabila Bimbang dipilih menjadi runut bunyi untuk sekuel drama bersiri Nur 2.

“Kami berdepan pelbagai masalah terutama melibatkan kos. Ketika menerima projek ini, saya sedar kos pasti menjadi halangan utama.

“Hinggakan saya dan pengurus peribadi bertikam lidah untuk menyiapkan projek ini. Alhamdulillah selepas menerima tajaan daripada Natalis Mother Care & Beauty semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Klip video Bimbang menjalani penggambaran di sekitar Seri Iskandar, Perak dan Shah Alam, Selangor. Marsha juga terlibat secara langsung dalam penghasilan klip video itu.

“Nampak indah dalam klip video, tetapi hanya Tuhan yang tahu apa yang saya lalui untuk penghasilan klip video ini.

“Secara peribadi, klip video Bimbang antara produk yang saya terlibat sepenuhnya bermula daripada konsep sehingga jalan cerita. Sudah tentu hasil kerja ini melibatkan sentuhan pengarah dan pengurus peribadi,” jelasnya.

Kehidupan peribadi

Resmi bergelar selebriti pasti tidak boleh lari daripada diaju soalan peribadi. Hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama seorang ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed, Marsha sudah lali ditebak soalan berkaitan zuriat.

Sehubungan itu, Marsha mengambil pendekatan menyerahkan soal zuriat kepada kuasa Allah. Dia bersyukur kerana sepanjang mendirikan rumah tangga, kehidupannya sentiasa bahagia.

“Kalau dihitung, usia saya sudah semakin tua, sudah tentu kami berdua mahukan anak secepat mungkin. Tetapi ramai yang lupa bahawa zuriat itu rezeki dari Allah.

“Jika Allah masih belum menghadirkan zuriat buat kami, maka kami perlu reda,” terangnya.

Mengaku pernah melakukan rawatan moden dan tradisional untuk mendapatkan zuriat, Marsha bagaimanapun belum merancang untuk menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

“Kami pernah melakukan pemeriksaan bersama-sama. Begitu juga dengan melakukan urutan. Namun masih tiada rezeki. Mungkin Allah merasakan kami belum bersedia,” luahnya.

Tidak pernah menghentikan langkah sebagai anak seni, Marsha mendedahkan suaminya antara orang kuat yang menyokong kerjayanya.

“Dia faham mengenai dunia seni. Suami tidak pernah menghalang saya daripada aktif. Malah dia antara orang yang sering memaksa saya untuk berkarya jika merasakan saya tidak aktif,” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga tidak kekok untuk mendapatkan pendapat suaminya sama ada berkaitan dunia lakonan atau nyanyian. Biarpun suami bukan dalam kalangan orang industri, tetapi dia faham mengenai bisnes hiburan,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post