Zul Ariffin jawab teka-teki status perkahwinan




Meskipun kali pertama bekerja dengan pengarah Syafiq Yusof dalam filem Misteri Dilaila, Zul menyifatkannya sebagai seorang pengarah dan penulis skrip yang kreatif.

Status diri Zul Ariffin masih menjadi tanda tanya apabila pelakon popular itu berdolak-dalik daripada membuat pengesahan berkenaan hubungannya dengan seorang wanita Ukraine yang didakwa telah menjadi isterinya.

Wanita yang dikenali sebagai Tanya Glembotska itu dikatakan telah bercinta dengan Zul sejak tahun lalu. Mereka juga didakwa telah berkahwin selepas tersebarnya beberapa keping gambar romantis yang tular dalam media sosial sekitar Januari lalu.

Tindakan Tanya menulis kapsyen yang merujuk Zul sebagai suaminya telah menguatkan lagi spekulasi tersebut.

Kapsyen yang ditulisnya berbunyi: “I want to say thanks to my husband. I am very happy with you. (Saya mahu berterima kasih kepada suami saya. Saya sangat gembira bersama anda.)”

Biarpun diasak pihak media untuk menjelaskan keadaan sebenar, pelakon filem Tombiruo itu lebih selesa untuk tidak memberikan sebarang jawapan konkrit kerana sedar khalayak dapat menilai sendiri kesahihan perkara tersebut.

Ikuti penjelasan daripada Zul ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul Misteri Dilaila baru-baru ini.

Bagaimanakah perasaannya apabila buat pertama kalinya bekerja di bawah arahan Syafiq Yusof untuk filem Misteri Dilaila.

ZUL ARIFFIN: Bukan mudah sebenarnya untuk mendapat watak mencabar, malah penceritaan filem ini digarap dengan sangat menarik. Sebab itu, saya terus menerima tawaran daripada Syafiq. Rugilah jika saya menolak karya berkualiti seperti filem Misteri Dilaila. Sebagai pengarah dan penulis skrip, Syafiq seorang yang kreatif. Jadi, sebagai pelakon saya hanya mengikut apa yang dia mahukan.

Adakah anda berharap untuk membawa pulang anugerah aktor terbaik menerusi watak lelaki psiko dalam filem Misteri Dilaila?

Saya tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan untuk apa-apa anugerah. Jika ada, saya bersyukur dan menerimanya. Bagi saya sebagai pelakon, perkara paling penting adalah memastikan filem ini mendapat sambutan baik sebab genre misteri thriller tidak banyak dihasilkan di Malaysia. Penonton juga agak kurang terdedah dengan genre sebegini daripada pengkarya tempatan. Justeru, saya berharap penonton dapat menerima filem Misteri Dilaila.

Apakah komen anda berkenaan gambar mesra bersama Tanya yang kembali tersebar pada Januari lalu.?

Bagi saya, adalah perkara normal bagi mana-mana orang untuk menjalin hubungan dengan sesiapa. Begitu juga saya. Tidak kiralah hubungan masa lalu, sekarang atau pada masa depan. Lainlah kalau saya ada melakukan kerja jahat seperti merompak atau pukul orang, perbuatan tersebut memang salah. Tetapi biasalah jika saya keluar dan berkawan dengan mana-mana orang.

Tanya turut menggelar anda sebagai suaminya, apakah penjelasan anda tentang perkara tersebut?

Bagi saya itu perkara biasa. Contohnya di Malaysia, ada pasangan kekasih yang memanggil pasangan mereka dengan gelaran manja seperti ‘B’ atau sayang.

Terpulanglah, apa sahaja gelaran yang mahu diberikan. Saya tidaklah kata dia perasan sendiri. Apa yang ada di depan mata, tengok sajalah. Saya tidak boleh menghalang apa yang mahu ditulis orang lain dalam laman sosial mereka.

Sejauh mana sebenarnya hubungan anda dengan Tanya?

Orang luar boleh fikir sendiri tentang perkara tersebut. Tidak perlu untuk saya keluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengiyakan atau menafikannya sebab tindakan tersebut tidak membantu pun.

Cuma saya terkejut sebab orang masih ambil tahu tentang perkara ini kerana tujuan mereka hanyalah untuk mengecam dan mengutuk. Adakah mereka mendapat duit dengan berbuat begitu? Tiada kan. Jadi, apakah tujuannya mereka buat begitu? Biarpun orang bercakap buruk tentang saya, saya tetap bangun pagi, makan dan pergi kerja seperti biasa.

Selepas tersebarnya gambar mesra dan kapsyen ‘suami’ tersebut, Tanya telah dikecam oleh netizen. Adakah dia pernah meluahkan perkara tersebut kepada anda?

Sebagai pelakon saya sudah biasa dengan keadaan sebegini. Tahap ‘membawang’ orang Malaysia sangat hebat, jadi sekarang baru dia tahu perasaan dikecam. Biarpun kami berkawan, tetapi saya perlu bersikap neutral dalam hal ini, sebab siapa suruh dia buat begitu. Dalam hal seperti ini, saya tidak bagi muka kepadanya.

Jadi, bilakah anda merancang untuk mendirikan rumah tangga?

Kalau tanya bab perancangan, dulu pun pernah saya merancang, tetapi hasilnya tidak ke mana juga. Insya-Allah, jika suatu hari nanti saya mahu kahwin, saya tidak akan sorok perkara tersebut. Sudah tentu saya akan kongsikan kepada semua.

Post a Comment

Previous Post Next Post