Tasha percaya masyarakat akan mengambil sedikit masa untuk menghakis pandangan terhadap dirinya yang sering membawa watak antagonis dalam kebanyakan drama lakonannya sebelum ini.
Pelakon Tasha Shilla mengakui kontroversi lampau membabitkan dirinya seperti sering berimej seksi dan hubungan bersama bekas kekasih menjadi pengalaman paling berharga dalam pencarian dirinya yang sebenar.
Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak percaya sekiranya kontroversi lampau tidak berlaku, dia tidak akan pernah sedar dan belajar daripada kisah tersebut untuk berubah menjadi orang yang lebih baik.
Kata Tasha, 32, dia kini lebih selesa dan bahagia menjalani kehidupan tanpa sorotan populariti seiring dengan kematangan usia yang menjadikannya semakin bijak membezakan perkara baik dan buruk.
Ikuti bicara bersama pelakon drama Epilog Cinta Khirana itu ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama tudung ParisFairies Scarves baru-baru ini.
KOSMO!: Sudah lama tidak mendengar berita, apakah perkembangan terbaharu Tasha?
TASHA SHILLA: Alhamdulillah. Saya masih bekerja seperti biasa, cuma mungkin tidak kerap muncul di mana-mana acara membuatkan kelihatan seolah-olah sudah tidak aktif. Sebenarnya kerjaya saya tetap berjalan seperti biasa. Setakat ini masih ada beberapa buah drama masih belum ditayangkan. Terbaharu, saya bakal terlibat dalam drama terbitan produksi Zeel Production.
Apakah yang menyebabkan nama anda tenggelam dalam bidang lakonan?
Saya belajar daripada kesilapan. Orang kata, kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi. Itulah yang sedang saya lakukan sekarang, maksudnya tingkatkan prestasi dari segi lakonan. Saya mahu masyarakat memandang bakat berbanding kontroversi. Sejujurnya saya sangat selesa dengan keadaan sekarang, tidak terlalu menjadi tumpuan orang.
Boleh kongsikan apakah yang anda pelajari tentang pengalaman lalu?
Saya belajar satu perkara paling penting iaitu sebagai tumpuan awam, saya perlu hindarkan daripada terlalu mendedahkan soal peribadi. Bukan untuk orang lain tetapi diri sendiri. Saya berasa diri kuat, tetapi sebenarnya tidak, lebih-lebih lagi untuk menghadap segala kritikan orang ramai.
Tasha Shilla tetap Tasha Shilla, tetapi saya juga mahu hidup seperti orang biasa tanpa tumpuan. Contohnya, dulu sewaktu bercinta saya begitu terbuka mengenainya. Jadi, apabila semakin matang saya sedar bahawa bukan semua tentang kehidupan peribadi boleh dikongsi bersama umum.
Sekarang saya memang sedang berkawan rapat dengan seseorang cuma tidak terlalu mengharap seperti dahulu. Kalau ada jodoh, saya akan kahwin dan umumkan kepada semua.
Bagaimanakah cara anda membuang perkara negatif dalam kehidupan?
Sejujurnya saya sangat tenang dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Sebelum ini saya melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu, tetapi sekarang saya belajar sayangi diri sendiri melebihi segalanya.
Sebelum ini anda pernah berkongsi menghidap kemurungan. Jadi, bagaimana dengan tahap kesihatan anda?
Alhamdulillah, saya okey. Walaupun tidak sepenuhnya sihat, tetapi tidaklah seteruk dahulu. Saya bertambah okey dan tenang. Apa yang saya lakukan adalah mengambil pendekatan mengawal pergaulan dan banyak melakukan aktiviti positif seperti bersukan dan membaca bahan yang menambah motivasi diri. Sewaktu muda, saya sering lepaskan tekanan dengan cara berhibur dengan kawan-kawan, tetapi jauh dalam hati masalah itu tidak hilang. Selepas sedar mempunyai masalah kemurungan saya mendapatkan bantuan daripada pakar dan beransur pulih. Meski pernah terjatuh, saya kembali bangkit dan selalu ingatkan diri sendiri bahawa saya berhak bahagia.
Apakah komen anda mengenai stigma masyarakat yang menganggap semua pesakit mental sebagai orang gila?
Saya sendiri pernah dianggap gila sewaktu mula-mula mengaku mengalami kemurungan. Hakikatnya kesedaran tentang masalah kesihatan mental dalam kalangan orang ramai masih berkurangan, malah tidak ramai yang tahu dan sedar mereka juga mempunyai masalah kemurungan.
Cuma mungkin disebabkan takut dengan pandangan masyarakat membuatkan pesakit mental menyembunyikan kebenaran. Sejujurnya saya juga pernah berasa malu dan takut untuk berkongsi masalah yang dihadapi.
Saya bimbang tiada orang akan faham situasi kita. Namun, selepas bertemu dengan pakar dan membuat perkongsian mengenai perkara tersebut secara tidak langsung saya telah membantu ramai orang lain.
Selepas menjalani fasa kontroversi dalam hidup sehingga pernah kemurungan, mungkin anda mempunyai kata nasihat yang ingin diberikan kepada artis yang sedang mengalami nasib serupa?
Kontroversi merupakan ujian yang diberikan Allah. Apa yang saya mampu buat hanyalah mendoakan semuanya berjalan dengan baik.
Saya faham, kebanyakan mereka masih muda. Sama juga seperti saya yang pernah muda dan teringin mencuba pelbagai perkara baharu dan menyeronokkan. Bagi saya tidak salah untuk mencuba perkara baharu, cuma pesanan saya adalah jangan lakukan kesilapan sama pada masa akan datang.