Siti Sarah ketika membuat persembahan di pentas AJL33 minggu lalu.
Pengurus kepada penyanyi Siti Sarah, Nana Mohamad Rom menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa lagu Semakin tidak mendapat sebarang kemenangan pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) baru-baru ini kerana bukan karya asli ciptaan Mera Utama iaitu Shuib.
Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan Semakin sangat mirip dengan lagu Matahari nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica dari segi muzik dan melodi.
Menurut Nana, pihaknya tidak menafikan bunyi lagu Semakin sangat dekat dengan lagu Matahari kerana Siti Sarah menggunakan karya tersebut sebagai rujukan.
"Kalau diikutkan, bunyi asal lagu itu lain tetapi Siti Sarah mahu ia dibuat merujuk kepada lagu Matahari kerana dia sangat meminati muzik dan lagu-lagu nyanyian Agnes.
"Jadi tidak dinafikan ada persamaan dari segi bunyi muziknya tetapi bukanlah lagu yang dibeli seperti didakwa," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Malah Nana turut mengakui terbuka andainya pihak juri AJL33 mempertikaikan soal keaslian dan bunyi lagu Semakin sehingga ia tidak berjaya membawa pulang sebarang kategori pada pentas AJL33.
"Sewaktu Semakin melepasi slot separuh akhir, saya akui berasa bimbang kalau markah dipotong kerana dari segi bunyi, ia sangat dekat dengan lagu orang lain.
"Namun tidak sangka Siti Sarah berjaya membawa lagu itu ke pentas AJL33, malah dinobatkan sebagai lagu terbaik pada minggu semi final. Jadi ini semua soal rezeki.
"Jadi kalau pihak juri persoalkan tentang keaslian dan bunyi yang hampir sama dengan lagu Matahari, saya memang mengakuinya tetapi ia tidak diciplak daripada mana-mana pihak," jelasnya.
Malam AJL33 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil menyaksikan Siti Sarah bertanding buat kali pertama dalam anugerah berprestij itu selepas lebih 15 tahun bergelar penyanyi.