Rendy Faliq dituduh tidak faham sensitiviti agama




Hanya kerana nama, penyanyi yang kini popular menerusi lagu Lelaki Kiriman Tuhan, Rendy Faliq didakwa telah mempermainkan sentimen penganut agama Islam di negara ini.

Rendy atau nama sebenarnya, Andy Baru Francis, 30, berkata, dia dikecam teruk sehingga ada yang sanggup mengeluarkan ugutan bunuh terhadapnya yang dihantar menerusi Direct Message (DM) dalam Instagramnya.

"Selama ini saya hanya dikecam. Tidak sangka sehingga ke tahap menerima ugutan seumpama ini. Saya amat terkejut dan perlu tampil memberikan penjelasan," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Rendy yang beragama Kristian, segelintir netizen tidak selesa dengan nama komersial yang digunakan kerana dianggap jalan pintas untuk meraih sokongan peminat.

"Sejak saya menggunakan nama komersial Rendy Faliq, ramai beranggapan saya beragama Islam. Ketika berjumpa peminat atau memenuhi undangan pentas mereka akan mengucapkan salam dan saya tidak membalas ucapan salam itu.

Mengulas lanjut, Rendy tiada masalah sekiranya peminat menganggap dirinya sebagai seorang Muslim.

Jelas penyanyi berasal dari Limbang, Sarawak itu, sejak kecil dibesarkan dalam suasana masyarakat majmuk pelbagai agama menjadikan dirinya seorang individu yang terbuka dan menghormati semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

"Saya mempunyai ramai kenalan rapat beragama Islam. Malah saya juga pernah berpuasa kemudian menyambut hari raya bersama rakan-rakan Muslim. Semua itu bukan masalah bagi saya," katanya.

Rendy berharap penjelasan sebegini mampu membuang kekeliruan peminat tentang status agamanya.

Dalam perkembangan lain, kelab peminat Rendy iaitu Rendynatics bersama kelab Ippo Hafiz FC akan mengadakan perlawanan persahabatan di Pusat Sukan Lavana Jalan Genting Kelang pada 15 Mac depan.

Perlawanan tersebut dianjurkan demi mengeratkan ukhuwah antara peminat drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda.

Post a Comment

Previous Post Next Post