Penampilan terbaru pelawak dan pengacara Jihan Muse berhijab mendapat perhatian dan ramai mendoakan dirinya terus istiqamah.
Jihan, 35, menerusi balasan komen kepada pengikutnya di Instagram turut berharap dia terus diterima baik dalam industri jika berhijab penuh kelak.
“Amin amin, insya-Allah doakan saya masih diterima untuk kerja dalam bidang ini sebab memang suka kerja saya,” katanya.
Ada peminat turut mendoakan dia terus bertudung dan memintanya jangan risau mengenai rezeki dalam bidang pengacaraan pasti bertambah.
“Amin insya-Allah mudah-mudahan masinlah mulut awak,” balasnya yang kini sedang bercuti di Jepun bersama keluarganya.
Terdahulu, Jihan turut mengenakan skaf untuk menutup rambutnya sewaktu menjalankan misi kemanusiaan di Palu, Indonesia baru-baru ini.
Selain Jihan, program Misi Dapur Kaseh Buat Sulawesi itu turut disertai rakan artis Fara Fauzana, Zara Zya serta beberapa sukarelawan bertujuan menyumbangkan bantuan kepada mangsa bencana alam di sana.