Nyanyian berkubur, Ayim pernah kerja pasar raya




Ayim tidak pernah berputus asa meskipun pernah kecewa dengan bidang nyanyian.

Pepatah Melayu ada berbunyi, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Barangkali itulah yang dirasai penyanyi yang lahir daripada program realiti Mentor 4, Ayim apabila kerjaya seninya hanya bertahan buat sementara waktu.

Impian pemilik nama sebenar Haimie Hapsun itu untuk bersinar dalam bidang nyanyian terbantut kerana rezekinya hanya sampai di peringkat separuh akhir program popular berkenaan sebelum tersingkir.

Biarpun begitu, anak didik Mus May itu sempat melahirkan sebuah single berjudul Selalu Denganmu. Malangnya, tuah tidak berpihak kepadanya dan memaksanya kembali ke negeri asalnya iaitu Sabah.

Jelas Ayim yang kini ingin dikenali dengan nama Ayim Miala, ketika dia pulang ke kampung halaman dan berehat daripada bidang nyanyian, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk bekerja di sebuah pasar raya di Lahad Datu demi menampung kehidupannya sekeluarga.

Cahaya kembali menyinar kehidupannya apabila bergelar juara sebuah pertandingan nyanyian pada 2017 dan bertemu dengan seorang lelaki bernama Tuan Razlan. Lelaki berkenaan yang menjalankan perniagaan pengurusan acara di Sabah membantunya merakamkan album berjudul Teori Rimbayu.

Apakah sebenarnya terjadi kepada Ayim selepas tamat program Mentor 4 pada 2010?

Ayim: Selepas tamat Mentor 4, lebih setahun saya tinggal bersama Mus May sehingga penghujung tahun 2012. Selepas berasa tiada peluang buat saya untuk terus berada dalam industri seni, saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke Sabah. Waktu itu memang susah kerana tiada tawaran nyanyian ditambah dengan kehadiran ramai pendatang baharu. Jadi, lebih baik saya pulang ke Sabah dan mendapatkan pekerjaan tetap.

Selepas tidak lagi aktif menyanyi apakah yang anda lakukan?

Saya melakukan pelbagai pekerjaaan antaranya, bekerja di sebuah pasar raya. Apa yang boleh saya buat kerana memang sudah tiada rezeki untuk saya dalam bidang nyanyian ketika itu. Saya fikir adalah lebih baik pulang ke kampung dan cari pekerjaan yang memberi pendapatan tetap. Semasa bekerja di pasar raya, boleh dikatakan setiap hari pasti akan ada orang bertanya mengapa saya berhenti menyanyi. Walau pernah kecundang, cinta saya terhadap bidang nyanyian tidak pernah luntur.

Apakah yang membuatkan anda ingin kembali menyanyi?

Sebenarnya, kawan-kawan di Sabah yang banyak memberikan galakan. Mereka selalu mempersoalkan mengapa saya perlu berhenti menyanyi. Selain itu, saya juga ingin terus memperjuangkan muzik saya. Tidak kisah andai tidak mendapat sambutan hebat kerana niat saya hanya ingin berkongsi bakat bukan mencari populariti.

Adakah anda kecewa selepas mendapati dunia hiburan tidak seindah yang disangka?

Perkara seperti ini bergantung kepada rezeki masing-masing. Memang sebelum masuk bidang nyanyian, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Insya-Allah, jika tidak mengalah pasti akan ada jalan buat saya dalam bidang nyanyian.

Maaf bertanya, bagaimana hubungan anda dengan Mus selepas tamat Mentor 4?

Dia sudah tunaikan tanggungjawab dan janji untuk menerbitkan satu single berjudul Rahsia Hatiku. Dia akan tetap menjadi mentor saya sampai bila-bila. Saya tidak akan lupa jasanya yang memberi tempat berlindung ketika saya berada di Kuala Lumpur.

Bagaimana dengan kehidupan peribadi anda sekarang?

Alhamdulillah, saya bahagia dengan hidup sekarang bersama isteri, Maryani Jipri. Kami telah dikurniakan seorang anak bernama Putra Aryan. Kini isteri saya sedang hamil tujuh bulan anak kedua kami.



Post a Comment

Previous Post Next Post