Misha bersyukur dengan kemenangan yang diraih dalam AJL33. Biarpun sekadar memenangi tempat ketiga dan Vokal Terbaik, Misha berpuas hati apabila persembahannya berjaya menyentuh hati penonton.
Biarpun sudah empat hari berlalu, demam Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) masih lagi bersisa. Meski terlihat hebat di atas pentas, penyanyi Misha Omar mendedahkan dia sebenarnya hampir gagal melontarkan nada terakhir lagu Sampai Bila kerana terlalu hanyut dengan emosi.
Ibarat menyimpan dendam, pemilik nama sebenar Samiha @Aisah Omar, 37, berjaya menyihir penonton dengan vokalnya sehingga ramai meramalkan dia bakal bergelar juara AJL33 sekali gus mengulangi magis Bunga Bunga Cinta.
Misha yang mendendangkan lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik nukilan bersama Fedtri Yahya serta Shah Shamsiri bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan kemenangan Vokal Terbaik dan tempat ketiga.
Kosmo!: Tahniah Misha berjaya mengungguli tempat ketiga dan trofi Vokal Terbaik pada AJL33. Namun, apa pandangan anda apabila ramai yang kecewa kerana lagu Sampai Bila tidak bergelar juara.
Misha Omar: Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan menerima keputusan yang ditetapkan oleh juri dengan berlapang dada. Kita sedia maklum dalam setiap pertandingan pasti ada menang dan kalah.
Kami (Sharon, Fedtri dan Shah) tidak meletakkan sebarang harapan, sebaliknya hadir untuk menyentuh hati orang ramai dengan karya dan bait lagu yang menyentuh perasaan. Asalkan menjadi juara di hati penonton itu sudah memadai.
Bolehkah anda kongsikan apakah yang berlaku di atas pentas?
Sepanjang berada di atas pentas, saya bergelut dengan emosi. Sejak melahirkan anak sulung pada tahun lalu, saya sering berasakan lemah dan ingin berputus asa.
Namun, selepas mendengar rakan-rakan dan penonton menyanyi bersama, saya berasa sebak dan sukar untuk mencapai nada seterusnya. Saya lawan perasaan itu untuk memberi persembahan terbaik demi peminat dan penonton.
Musuh utama sepanjang berada di pentas adalah diri saya sendiri. Saya bergelut untuk membuang segala perasaan negatif ketika di atas pentas.
Boleh kongsikan kekuatan lagu Sampai Bila sehingga melayakkan anda merangkul trofi Vokal Terbaik untuk kali ketiga selepas Bunga-bunga Cinta dan Pulangkan.
Saya mengambil masa yang lama untuk menerima karya Sampai Bila kerana lagu ini merupakan paduan antara emosi dan teknikal. Kesukaran lagu ini adalah mencari titik keseimbangan antara emosi dan teknikal.
Dalam persembahan di AJL33 saya tunaikan permintaan peminat yang mahu lagu ini disampaikan dengan perasaan sedih. Jadi, itulah hasilnya daripada emosi sedih.
Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa tajuk asal lagu ini adalah Secebis Hati kemudian ditukar pada Pengganti Cinta sebelum kami bersetuju dengan tajuk Sampai Bila.
Apakah reaksi anda apabila Sharon mendedahkan dia akan menyimpan lagu Sampai Bila jika anda tidak menyanyikan lagu tersebut?
Sejujurnya selepas AJL33 saya rasa ramai yang boleh menyanyikan lagu Sampai Bila dengan baik. Bukan saya seorang sahaja.
Hal ini kerana, karya Sampai Bila itu sendiri begitu sarat dan cukup puitis. Jadi, sesiapa sahaja mampu membawa lagu ini dengan baik.
Ketua Juri AJL33, Azmeer menyifatkan persembahan vokal anda sempurna dan markah jauh meninggalkan peserta yang lain. Apakah komen anda mengenai perkara tersebut?
Kejayaan Sampai Bila banyak dibantu oleh pasukan di belakang tabir bukan saya seorang. Datuk Syafinaz Selamat menjaga bahagian teknikal dan vokal, manakala Dr. Norzizi Zulkifli membantu saya menzahirkan emosi sebagai seorang pencerita.
Tidak dilupa, bantuan orkestra di bawah pimpinan Aubrey Suwito yang membuatkan lagu ini mencapai klimaksnya.
Sepanjang persembahan, saya tidak berusaha untuk mencapai nada yang tinggi, sebaliknya fokus terhadap penceritaan lagu.
Alhamdulillah, usaha semua orang sebalik persembahan Sampai Bila dapat dirasai penonton.