
Biarlah apa netizen dan orang luar nak cakap. Nak kata saya minta sedekah atau tak malu ke, itu semua terpulang kepada mereka. Saya tiada hak untuk halang dan tutup mulut mereka.
Itu antara luahan ringkas pelakon Lana Nodin, 39, apabila hebat dikecam segelintir netizen gara-gara tindakannya memuat naik status seakan-akan meminta sedekah terhadap penyakit yang dialami anak keduanya, William Daud McKienzie.
Menerusi status dan gambar yang dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin itu meminta orang ramai mendoakan kesihatan anaknya yang bakal menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung (aortic stenosis).
Menurut Lana, menerusi kapsyen yang ditulis pada gambar tersebut, dia turut menyatakan secara umum kepada orang ramai termasuk pengikutnya yang berminat serta bermurah hati untuk menderma melalui Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).
“Saya dan suami akui tidak pernah menagih apa-apa bantuan mahupun derma daripada orang ramai untuk Billy (nama panggilan William).
“Jika ada yang mahu membantu Billy, terima kasih saya ucapkan. Tetapi adalah lebih baik wang itu disalurkan ke tabung bantuan IJN kerana ada ramai lagi bayi dan kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung memerlukan bantuan anda,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Jelasnya, dia agak kesal dan kecewa dengan tindakan melulu netizen yang menempelak dirinya serta suami seolah-olah mereka cuba menagih simpati dan derma.
Dalam perkembangan lain, Lana menerusi Insta Story menyata rasa syukur apabila anaknya selamat menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN) pada Khamis lalu.
“Alhamdulillah anak saya selamat dan tiada komplikasi lain. Terima semua yang prihatin, anak saya selamat kerana doa-doa kalian.
“Pembedahan dilakukan dalam tempoh kurang sejam. Bagaimanapun sebelum pembedahan doktor ada memberitahu terdapat risiko yang sama untuk jantungnya terhenti ketika pembedahan seperti mana percubaan kali pertama sebelum ini.
“Namun, doktor kata anak saya kuat dan dia selamat,” ujar Lana sebak menerusi Insta Story tersebut.
Terdahulu, Lana berdepan detik cemas dan hampir pengsan Selasa lalu apabila diberitahu jantung Billy yang berusia dua bulan itu terhenti selama 10 minit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.
Lana mendirikan rumah tangga dengan jejaka kelahiran Amerika Syarikat, David atau nama Islamnya, Mohd. Daud Mckinzie pada 15 Mei 2015.
Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan anak sulung perempuan, Gia Quinn McKienzie yang kini berusia tiga tahun.