Kelebihan dari segi konsep lagu, susunan muzik dan melodi telah mengangkat lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjudul 'Haram' untuk dijulang sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad lalu.
Dinyanyikan oleh Hael dan rakan duetnya, Dayang Nurfaizah, Azmeer selaku Ketua Juri AJL33 menegaskan, lagu berkenaan menang dari segi kualiti dan layak diangkat sebagai juara, sementelah barisan juri juga mahukan pembaharuan atau inovasi dalam penganjuran kali ini.
Getus Azmeer, perlu diingatkan bahawa AJL adalah pertandingan untuk pencipta lagu dan penulis lirik, bukan hanya penyanyi popular.
“Tahun ini, barisan juri mahukan pembaharuan atau inovasi muzik. Kami tidak mahu lagu yang muziknya berada pada takuk lama walaupun melodinya sedap. Saya akui, banyak lagu masa kini adalah muzik kitar semula dari era 1990-an. Justeru, pihak juri dahagakan sesuatu yang baharu berbanding karya-karya yang klise,” jelas Azmeer atau nama sebenar Mohd. Azhar Abu Bakar itu.
Sebagai ketua juri, Azmeer turut disuakan persoalan tentang elemen pembaharuan yang terkandung menerusi Haram. Katanya, Haram kaya dengan tekstur muzik dan bunyi yang mega serta mempunyai kualiti moden yang tinggi.
“Juri suka Haram kerana tekstur muzik dan bunyi besar serta inovasi yang terhasil daripada lagu itu. Kami juga tidak boleh menafikan Haram mempunyai melodi yang sedap.
“Bagaimanapun, kalau kami menghakimi berdasarkan sudut melodi sahaja, ada lagu lain yang sebenarnya lebih sedap berbanding Haram. Kalau dicampur dari segala aspek berkaitan tekstur muzik, bunyi inovasi dan nota muzik, memang Haram layak menang,” terangnya.
Dedah Azmeer juga, jurang markah antara juara dengan semua pemenang sangat rapat bahkan perbezaannya tidak sampai satu markah. Katanya lagi, kesemua lagu sudah diberikan markah prapenjurian sebelum persembahan berlangsung pada malam Ahad lalu. Malah, kualiti rakaman lagu versi studio turut menyumbang markah tersendiri.
“Secara keseluruhan, perbezaan markah amat tipis. Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci namun markah juara sehingga tempat ketiga hanya dibezakan dengan titik perpuluhan.
“Sejujurnya, keputusan juara bukan sebulat suara namun berdasarkan pemarkahan, perbincangan terperinci, majoriti para juri memilih Haram sebagai juara. Kami sebagai juri harus akur dan memberikan kerjasama sebaik mungkin semasa penjurian.
“Ada lagu dalam versi rakaman studio pun dinyanyikan dua tiga nota sumbang. Markah prapenjurian juga besar pengaruhnya, namun saya tidak boleh dedahkan di sini. Tidak adil kalau orang tidak berpuas hati apabila lagu paling hit atau popular kegemaran mereka tidak menang AJL,” terang Azmeer.
Kesilapan
Dipersoalkan tentang kesilapan nyanyian yang dilakukan Hael apabila ‘tertelan’ satu baris ayat dalam nyanyiannya, Azmeer mengakui perkara tersebut, namun ada penjelasan yang berpihak kepada Hael.
“Saya selalu ingatkan para juri bahawa AJL bukan pertandingan nyanyian, sebaliknya pentas untuk karya lagu. Ada markah untuk persembahan namun kalau betul mereka buat silap kami potong markah.
“Bagaimanapun, tidak adil untuk menghukum sesebuah lagu apabila penyanyinya buat kesilapan dalam persembahan. Markah untuk lagu tetap tinggi. Semua penyanyi melakukan kesilapan namun kalau memang sudah tertulis rezeki untuk menang, kita tidak boleh menidakkan rezeki mereka.”
Terlanjur menyatakan pendapat, Azmeer turut memberi penjelasan tentang kualiti lagu Semakin (ciptaan Mera Utama) yang pada peringkat separuh akhir mendapat markah tinggi namun pulang berputih mata pada AJL33.
“Kami sedar ada cakap-cakap mengatakan melodi Semakin mirip seperti sebuah lagu penyanyi luar negara. Namun tiada kesalahan dari segi teknikal berhubung perkara itu. Saya mengamati nota demi nota, lagu itu berbeza.
“Namun saya tidak boleh menafikan andai lagu itu dibikin berdasarkan inspirasi daripada lagu lain. Itu hak pencipta untuk gubah lagu mereka. Mungkin lagu itu jatuh ke nombor empat hingga 12 selepas diberi penjurian secara menyeluruh,” ujar Azmeer yang turut mendedahkan Misha Omar ‘menang mudah’ bagi anugerah Vokal Terbaik.
Terkejut
Sementara itu, terkejut dengan kemenangan Haram, Hael mengakui, tidak menyangka tuah menyebelahi dirinya untuk dua tahun berturut-turut dalam AJL. Fokus utamanya hanyalah melakukan persembahan yang terbaik.
“Awal-awal lagi saya sudah cakap, penglibatan tahun ini lebih ke arah melakukan persembahan terbaik. Tidak fikir ingin menang atau sebagainya. Terima kasih kepada Dayang Nurfaizah yang saya sifatkan sebagai sangat hebat dan memberikan komitmen paling tinggi.
“Apa yang merisaukan adalah konsep persembahan dalam hujan. Ini semua keputusan saat akhir dan Dayang memang rakan duet paling memberi. Kami sudah fikir, kalau basah atau tergelincir, kami tetap akan berikan nyanyian yang sebaik mungkin,” kata pemilik nama sebenar, Hal Husaini Razmi itu.
Ditebak pertanyaan tentang keserasian dengan Ezra Kong sebagai pencipta bersama, Hael berkata, mereka bekerja saling melengkapi antara satu sama lain.
“Kebiasaannya, saya yang menemui melodi. Tugas Ezra adalah membesarkan melodi itu. Dia adalah individu yang sentiasa percaya dan yakin dengan bakat penciptaan saya.
“Kami memang selalu bergaduh ketika di studio namun kebanyakan masa, memang Ezra yang akan menang (ketawa). YouTube memberi banyak inspirasi dalam penciptaan lagu-lagu kami. Ezra sendiri tidak pandai bermain gitar,” dedah pelantun lagu Jampi itu.
Balas dendam, emosi
Dalam pada itu, Ara Johari pula hilang kata-kata saat meleraikan emosi kemenangan Bunga yang meraih trofi naib juara AJL. Kejayaan menebus kesilapan lalu yang ‘terkandas’ akibat masalah kesihatan apabila Warkah Buatmu berbalas sebuah kemanisan yang sangat bermakna.
“Saya bersyukur! Ini adalah trofi pertama dan terbesar yang saya menang. Kemenangan ini boleh dikatakan balas dendam. Rasanya, saya sudah berikan 100 peratus tenaga untuk persembahan malam ini,” kata Ara yang mempertaruhkan lagu ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok itu.
Pemenang tempat ketiga dan juga Vokal Terbaik Misha Omar berkata, lagu Sampai Bila merupakan sebuah karya yang memerlukan penghayatan emosi tinggi untuk dipersembahkan atas pentas. Disebut-sebut untuk bergelar juara, Misha secara merendah diri bersyukur dengan kemenangan yang diraih.
“Terima kasih kepada Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk merakamkan dan menyanyikan lagu ini.
“Saya bersyukur dan berlapang dada. Adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Saya hanya ingin menyentuh hati penonton yang menyaksikan persembahan. Andai mereka dapat rasa, itulah makna kemenangan sebenar buat diri saya,” kata Misha.
Malam gilang gemilang AJL33 turut menyaksikan gema sorakan dan tepukan luar biasa buat penyanyi Sufian Suhaimi saat lagu kontroversi Di Matamu melunakkan seluruh jiwa yang memenuhi tempat duduk di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Di Matamu adalah lagu sedih dan berkait dengan kisah putus cinta. Bukan saya saja yang pernah mengalaminya. Semua orang pernah berhadapan situasi sama. Saya cuma sampaikan sebaik mungkin. Alhamdulillah untuk rezeki ini,” kata Sufian yang memenangi trofi Persembahan Terbaik AJL33.
Secara keseluruhan, AJL33 bukanlah penganjuran terburuk namun bukan juga penganjuran terbaik. Pertama kali ‘menjual’ tiket kepada penonton, barangkali terdengar juga suara-suara sumbang berhubung kualiti atau produksi penganjuran edisi kali ini yang sedikit menghampakan.
Pesta muzik tahunan Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) mencipta kejutan apabila lagu Haram dinobatkan sebagai juara. Biarpun rata-rata penonton menjangkakan kemenangan besar buat Sampai Bila dan Di Matamu, keputusan tersebut disifatkan para juri bersandarkan alasan konkrit.