Impian Haziq Hussni tercapai




Meskipun sudah berada di tahap selesa sebagai penyampai radio dan pengacara TV, Haziq Hussni tetap mengejar impiannya.

Apatah lagi, bapa dua anak itu punya minat mendalam terhadap bidang nyanyian seperti yang cita-citakan.

Malah, Haziq, 29, juga pernah mengikuti uji bakat program realiti Akademi Fantasia (AF), Mentor dan One In A Million (OIAM).

Bagaimanapun, nasib nyata tidak menyebelahi dirinya sehinggalah mendapat lamaran daripada komposer dan penyanyi Asfan Shah.

Ditemui ketika sesi fotografi, Haziq mengakui teruja kerana hasrat bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan.

Berpeluang menghasilkan single Demi Cinta Kita itu, Haziq mengakui gemar menyanyi di aplikasi Smule.

"Menyanyi memberi satu keseronokan dan terapi buat saya selepas penat bekerja. Apatah lagi, ia impian saya sejak dulu.

"Malah, saya mulanya berhasrat merakamkan single duet bersama isteri, Ayunda Putri Mekarsari atau Putri, 29, kerana minat kami sama.

"Bagaimanapun, situasi tidak mengizinkan kerana kami dikurniakan anak kedua maka perancangan diubah untuk saya tampil solo," katanya.

Menurut Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini, Asfan banyak memberikan kata-kata semangat.

"Moga single Demi Cinta Kita mendapat sambutan baik pendengar.

"Single ini cukup istimewa kerana mengisahkan pasangan kekasih yang sangat menghargai hubungan cinta mereka," katanya.

Ditanya apakah lebih mudah untuk lagu dendangannya itu 'mesra radio' memandangkan dia bekerja sebagai deejay, Haziq menafikan perkara itu.

"Meskipun bertugas sebagai penyampai radio Hot FM, bukan mudah untuk saya mempromosikan single sendiri.

"Saya masih perlu mengikut garis panduan ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menjadikan karier sebagai batu loncatan.

"Sama seperti penyanyi lain, saya juga perlu mengikut proses kelayakan lagu yang ditetapkan stesen radio. Jadi, saya serah saja pada rezeki," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan pengikut di Instagram (IG), Haziq berkata dia banyak mendapat komen yang positif.

Pemilik nama sebenar Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni itu turut menzahirkan rasa bertuah kerana keluarga menyokong penuh usahanya.

Jelasnya, dengan sokongan padu diterima dia sama sekali takkan melepaskan apa saja peluang yang diperolehinya.

Sehubungan itu, antara program TV pernah dihoskan Haziq adalah Nasi Lemak Kopi O, Mentor Otai, Borak Kopitiam, Muzik Muzik 33 dan KL TV.

Post a Comment

Previous Post Next Post