Aiman Samsul Balik Malaysia menyanyi




Selepas lima tahun berkhidmat sebagai pramugara dengan Qatar Airways, akhirnya penyanyi baru, Aiman Samsul, 28, pulang ke tanah air.

Kembali menetap di Malaysia sejak tahun lalu nyata keputusan tepat dibuat Aiman bagi mengembangkan karier seni yang diminati.

Baru muncul dengan single pertama berjudul Sungguh Aku ciptaan Daus Eli, Aiman turut mencuba nasib sebagai pelakon.

Aiman berkata, sekarang dia perlu serius dan sedia menerima apa saja peluang yang datang.

"Selain menyanyi saya juga bersikap terbuka mencuba nasib mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.

"Saya minat dalam nyanyian, begitu juga lakonan. Bagaimanapun, untuk lakonan saya berterima kasih dengan pengarah Suhaimi Lua Abdullah yang memberi saya peluang berlakon telefilem arahannya iaitu Lelaki Kacak Dari Dhaka," katanya.

Bercerita mengenai lagu Sungguh Aku, Aiman atau nama sebenarnya Mohd Amar Aiman Samsul berkata, lagu itu mengenai hubungan cinta tidak kesampaian.

Dia tertarik merakamkan lagu itu sebagai single pertama kerana sukakan melodi dan liriknya yang indah.

"Saya sedar saingan dengan ramai penyanyi baru. Jadi, saya ambil inisiatif mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Erul Samah.

"Menerusi lakonan pula, saya sangat bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman berlakon di samping pelakon seperti Radhi Khalid, Catriona Ross, Idris Khan, Fendy Bakry dan Hafeez Mikail," katanya yang bersedia menyanyi apa saja genre lagu serta cuba melakonkan pelbagai watak.

Post a Comment

Previous Post Next Post