Fitnah guna bomoh Misha Omar ambil tindakan




Misha bersama penguamnya. Dari Kiri (Ahmad Fuad Hasim), Misha dan Abi Mursyidin Awal.

Penyanyi Misha Omar membuat dua laporan polis pada Khamis berhubung dakwaan dia menggunakan ilmu sihir serta melakukan perbuatan khurafat bagi membolehkan dia memenangi pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) baru-baru ini.

Misha, 37, menjelaskan dia terpanggil untuk membuat laporan tersebut di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan selepas mendapati fitnah itu semakin berleluasa sehingga menjejaskan reputasinya sebagai penyanyi.

"Pada awalnya saya hanya ketawa sahaja apabila membaca komen orang menuduh saya menggunakan khidmat 'Mak Esah' (bomoh) untuk menang AJL.

"Tetapi lama-kelamaan ia semakin menjadi serius sampai ada rakan-rakan dan peminat bertanya akan hal itu walaupun sekadar bergurau.

"Atas sebab itu, saya rasa bertanggungjawab dan mencari kebenaran untuk diri sendiri," katanya kepada mStar Online.



Misha memenangi Vokal Terbaik dan tempat ketiga AJL33.

Misha ditemui pada sidang media yang diadakan pada petang Jumaat. Ia turut ditemani dua peguamnya iaitu Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim.

Pada AJL33 pada 3 Februari lalu, lagu Misha berjudul Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Shah Shamshiri dan Ahmad Fedtri Yahya mendapat tempat ketiga selain Misha dipilih sebagai pemenang kategori vokal Terbaik.

Mak Esah ialah gelaran yang sering digunakan dalam dunia hiburan bagi merujuk kepada bomoh, mengambil watak seorang dukun dalam sebuah drama suatu ketika dahulu yang menggunakan nama berkenaan.

Dalam pada itu, Misha atau Samiha @ Aisah binti Omar berkata, dia memberi tempoh selama tujuh hari bagi beberapa individu untuk tampil membuat permohonan maaf tanpa bersyarat kepadanya berhubung fitnah dibuat terhadapnya.

Misha bagaimanapun berkata, dia menuntut kesemua individu tersebut untuk berjumpa dengannya dalam tempoh diberikan bagi menyelesaikan isu itu dan memohon maaf kepadanya.

Saya bukan nak minta ganti rugi atau saman tapi cukup kita bertemu untuk meminta maaf dan saya akan maafkan tanpa bersyarat juga.

"Saya teringin untuk bertentang mata dengan pelaku-pelaku terbabit selain ingin tahu apa salah saya kepada mereka dan dari mana mereka dapat cerita saya guna sihir dan khurafat?

"Kita tidak saling mengenali jadi lebih baik bersemuka... Saya bukan nak minta ganti rugi atau saman tapi cukup kita bertemu untuk meminta maaf dan saya akan maafkan tanpa bersyarat juga.

"Pun begitu kalau dalam tempoh ini tiada seorang pun yang tampil maka akan adalah tindakan selanjutnya," jelasnya.

Sementara itu, peguam Abi Mursyidin berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun tersebut untuk siasatan lanjut.

Katanya, buat masa ini pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pelaku yang memfitnah Misha di laman sosial tampil bertemu dengan penyanyi itu untuk memohon maaf.

Post a Comment

Previous Post Next Post