Fareez Fauzi, 22, pernah terfikir mahu menutup laman sosial kerana kecewa apabila usaha untuk memperkenalkan namanya masih belum berhasil.
Namun, Fareez berkata, tindakan itu tidak diteruskan selepas berfikir dengan lebih rasional kerana tidak mahu membiarkan dirinya terlampau dipengaruhi emosi.
“Ketika itu, saya memang tertekan kerana kurang mendapat perhatian, biarpun sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan lagu diterima.
“Barangkali usia masih muda, ditambah faktor sekeliling membuatkan saya cepat memberontak, sedangkan banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan masalah.
Fareez kecewa apabila laman sosialnya menjadi sasaran kecaman peminat.
“Dalam fikiran saya, apa guna mempunyai media sosial sekiranya ia hanya menjadi tempat untuk menerima kecaman, sedangkan saya tidak pernah berpeluk tubuh,” katanya.
Juara Mentor Millenia 2016 itu berkata, dia tetap berusaha membuktikan bakat dan kemampuan meskipun, perjalanan kerjaya nyanyiannya agak perlahan.
Fareez yang juga anak pelakon, Fauzi Nawawi berkata, dia sudah mampu menarik nafas lega apabila promosi untuk lagu baharunya semakin agresif selepas bernaung di bawah label, FMC Music sejak tahun lalu.
Single berjudul Bersamamu itu bukan hanya menjadi petanda kemaraannya, malah ia juga lambang kematangannya dalam berkarya.
Selain menyanyi, Fareez juga ingin terus melebarkan langkah sebagai pelakon selepas diperkenalkan ayahnya menerusi filem Badang.