Daus AF8, isteri sah bercerai




Hubungan jarak jauh dikatakan menjadi punca perceraian mereka.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, 31, mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Syaza Shamimi Jalaludin Khan, 32, di Mahkamah Syariah Bintulu pagi semalam.

Daus atau nama sebenarnya, Muhd. Shahril Firdaus Eli ketika dihubungi mengakui rumah tangganya yang berusia lima tahun gagal diselamatkan dan perceraian adalah jalan terbaik buat mereka.

“Ya kami sudah bercerai pagi semalam. Sepatutnya saya tidak mahu semua orang tahu tentang perkara ini kerana ia bukan benda yang baik.

“Lagipun saya tak nak ia seolah-olah menggalakkan orang lain bercerai. Bagaimanapun, jodoh dan kebahagiaan kami hanya setakat ini dan kami kena akur.

“Mungkin persefahaman antara kami renggang kerana hubungan jarak jauh. Saya di Bintulu, Sarawak sibuk mengendalikan perniagaan manakala dia (isteri) pula tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Daus bernikah dengan Syaza pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Delysha Senzela, 5; Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang kini berusia dua minggu.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kenapa itu, dia enggan berkongsi panjang lebar apa yang berlaku kerana mahu menjaga hati semua pihak.

Daus berkata, perceraian berlaku dalam suasana lancar dan mereka tidak menyalahkan antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, kami terima hakikat dan berbaik demi anak. Saya sedar apa yang berlaku akan membuka ruang buat masyarakat mengecam saya.

“Tambah lagi isteri masih dalam pantang. Saya bersedia untuk kena kecam kerana hanya kami serta keluarga terdekat yang tahu perkara sebenar. Masing-masing ada salah dan sisi ego yang menyebabkan berlakunya penyelesaian begini,” ujarnya yang turut menolak faktor kewujudan orang ketiga sebagai punca perceraian mereka.

Tambahnya, bekas isterinya akan menetap di Bintulu selepas ini bersama anak, manakala dia pula akan berhijrah ke ibu kota untuk aktif semula dalam seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post