Blackpink pukau 16,000 peminat




Lautan manusia yang mula membanjiri pekarangan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor sejak rembang panas tengah hari Ahad lalu sudah cukup membuktikan kemeriahan yang bakal bergema pada konsert jelajah kumpulan popular Korea Selatan, Blackpink.

Biarpun persembahan hanya bermula pada pukul 6 petang, namun kemeriahan sudah dirasai apabila berbondong-bondong kumpulan peminat memenuhi ruang pekarangan stadium pada hari kedua konsert Ahad lalu.

Jangan tidak percaya, ada antara peminat yang mula berkampung di hadapan Stadium Malawati sejak pukul 10 pagi pada hari pertama konsert (Sabtu) dan situasi tersebut sudah cukup membuktikan betapa kegilaan peminat terhadap artis K-Pop sememangnya cukup luar biasa.

Malaysia dan Indonesia menjadi negara yang membuka slot konsert untuk dua hari berturut-turut, selain Thailand (tiga hari) selepas mendapat penerimaan luar biasa peminat.

Belum pun konsert bermula, peminat yang sudah berada di dalam stadium cukup teruja tatkala melihat paparan skrin menayangkan beberapa klip video lagu Blackpink sebagai penghangat suasana.

Meleraikan penantian peminat, Blackpink pantas membuka pentas dengan persembahan tepat pukul 6 petang. Kehangatan jelas dirasai peminat yang menyaksikan kelincahan empat jelitawan Blackpink itu beraksi di hadapan mata sendiri.

Solo

Memulakan tirai persembahan menerusi lagu hit Ddu-du Ddu-du yang menjadikan kumpulan itu terkenal di seluruh dunia, suasana kemudian bertukar menjadi semakin meriah dengan kemunculan keempat-empat Jisoo, Jennie, Lisa dan Rosé di atas pentas.

Kehangatan luar biasa kemudian disambung dengan seleksi lagu rancak iaitu Forever Young, Stay (versi remix) dan Whistle yang berjaya menghadirkan keterujaan 8,000 peminat pada malam kedua tersebut.

Penangan kehadiran Blackpink ke negara ini jelas menerbitkan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tegar mereka kerana kumpulan itu disifatkan lahir dengan pakej yang serba sempurna sebagai idola pujaan ramai.

Pandai menyanyi, lincah menari dan berkebolehan menyampaikan irama rap, menjadikan Blackpink sebagai ‘bunga’ unik yang ada dalam kelompok besar artis K-Pop.

Persembahan yang bermula penuh bertenaga diteruskan dengan kemunculan solo keempat-empat anggota Blackpink. Jisoo membuka tirai slot persembahan solo dengan menyampaikan lagu Clarity nyanyian asal Zedd ft. Foxes.

Selepas peminat terbuai dengan lantunan vokal serak-serak basah milik Jisoo, persembahan beralih tangan kepada penari dan rapper utama kumpulan itu, Lisa.

Tanpa melantunkan vokal, Lisa tampil memukau hanya dengan kelincahan gerak-gerinya menari menerusi lagu Intro, Take Me dan Swalla sekali gus membuktikan kehandalannya sebagai salah seorang penari terhebat dalam kalangan artis wanita K-Pop wanita.

Usai peminat terpukau dengan persembahan tarian Lisa, vokal utama kumpulan itu, Rosé pula tampil ayu mengenakan gaun berwarna merah muda muncul dengan medley lagu, Let It Be, You & I dan Just Look At Me sambil diiringi dentingan piano.

Pentas terus diwarnai penampilan Jennie menerusi debut solonya berjudul Solo yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu, sebelum keempat-empat mereka kemudiannya bergabung meneruskan persembahan dengan untaian lagu hit seperti Kiss and Make Up, So Hot, Playing With Fire, Really (versi reggae) dan See You Later.

Tidak sedar waktu pantas berputar, kerancakan persembahan Blackpink menemui titik noktah apabila persembahan mereka memasuki slot terakhir dengan menampilkan lagu 16 Shots, Boombayah dan As If It’s Your Last.

“Ini malam kedua kami di Malaysia dan melihat suasana yang penuh di dalam stadium, membuatkan kami berasa kagum. Kalian sangat hebat,” ujar Rosé yang dilihat paling banyak berinteraksi dengan penonton sepanjang konsert berlangsung.

Cabaran

Hanya memiliki sebanyak sembilan buah lagu sejak debut pada 2016, profil sebegitu ternyata memberi cabaran buat Blackpink untuk mengemudi sebuah konsert berskala besar yang selalunya berdurasi lebih dua jam.

Disebabkan itulah, mereka perlu membahagikan slot persembahan dengan memasukkan bahagian solo keempat-empat anggotanya biarpun Jisoo, Lisa dan Rosé sebenarnya belum memiliki single solo. Jennie merupakan anggota pertama yang muncul dengan single solo dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Namun YG Entertainment sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan, menjanjikan setiap anggota Blackpink akan memiliki single solo sendiri.

Untuk persembahan pada slot encore, Blackpink kembali mengulang dua buah lagu yang sama iaitu Ddu-du Ddu-du dan Stay (versi asal).

Jika dikira secara teliti, total minit persembahan Blackpink berdurasi tidak lebih daripada dua jam. Namun kelincahan mereka mempersembahkan setiap lagu yang kebanyakannya bergenre rancak telah menghidupkan suasana.

Secara keseluruhan, Blackpink berjaya meninggalkan momen indah untuk dikenang peminat kerana lagu-lagu mereka banyak berintikan muzik rancak sekali gus membantu menghadirkan adrenalin luar biasa buat peminat yang menonton.

Dari sudut teknikal juga, Blackpink membuktikan tahap sebuah persembahan artis K-Pop begitu mementingkan aspek pementasan selain muzik dan pencahayaan pentas.

Biarpun melangsungkan persembahan untuk dua hari berturut-turut, Blackpink tetap ceria dan memberikan sebuah persembahan tanpa cela buat peminat di Malaysia.

Melengkapkan Malaysia sebagai salah satu destinasi konsert jelajah dunia mereka, kumpulan wanita popular Korea Selatan, Blackpink yang berkunjung ke Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Februari lalu berjaya menawan hati 16,000 penonton dengan persembahan cukup memukau.

Post a Comment

Previous Post Next Post