Ain Edruce Mungkin orang tu hanya nak luah apa yang dia tak suka tentang saya




Ain menganggap komen negatif netizen sekadar luahan mereka di laman sosial.

Pelakon Ain Edruce menganggap komen netizen mengatakan dia tidak kelakar dan suka terjerit-jerit apabila mengacara, hanya sekadar luahan individu tersebut di laman sosial.

Ain, 28, berkata, dia menerima sahaja kritikan negatif kerana baginya setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan tidak semua orang menyukai caranya.

“Sebenarnya saya tak boleh buat apa pun. Setiap orang ada pendapat sendiri. Laman Twitter tu adalah satu tempat untuk orang suka luahkan apa yang mereka rasa.

“Mungkin orang tu hanya nak luah apa yang dia tak suka tentang saya. Tetapi saya tak marah atau memberi kesan pun pada saya. Sebab itu adalah pandangannya sahaja.



Komen netizen yang menganggap Ain tidak kelakar dan suka terjerit-jerit.

“Lagipun, bukan semua orang akan suka kita. Tapi saya bersyukur masih ada ramai lagi yang mempertahankan saya dan menyokong saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ain diminta mengulas mengenai komen seorang netizen di laman Twitter yang mengatakan pengacara itu tidak kelakar dan mengacara dalam keadaan menjerit.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna laman sosial itu mempertahankan pelakon drama bersiri Kekasih Paksa Rela itu dengan mengatakan mereka selesa dan suka melihat cara Ain yang menjadi diri sendiri.



Ain syukur masih ada peminat yang menyokongnya.

Dalam pada itu, Ain berpendapat ramai peminat lebih suka apabila seorang selebriti itu menjadi diri sendiri dan memberi contoh yang baik kepada orang lain.

“Ramai yang lebih positif dan mereka juga suka melihat saya menjadi diri sendiri. Orang nampak keikhlasan dan kejujuran kita dalam bekerja.

“Selain itu, kita juga dapat menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Sebab tu bagi saya, tak perlu la artis tu berubah menjadi orang lain,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post