Sufian Suhaimi mendoakan Elfira menjalani kehidupan bahagia dengan pasangan pilihannya.
Sebut sahaja nama penyanyi Sufian Suhaimi pasti ramai yang akan teringat dan terimbas bekas kekasihnya, Elfira Loy yang selamat diijabkabulkan bersama pasangan pilihan hatinya, Muhammad Faris.
Manakan tidak, setelah sekian lama melayari bahtera percintaan dan pertunangan bersama aktres tersebut, namun titik noktah hubungan mereka terhenti dek kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan atau dalam bahasa mudahnya tiada jodoh.
Pun begitu, penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu menerimanya dengan penuh reda, selain mendoakan Elfira menjalani kehidupan bahagia dengan pasangan pilihannya.
Setelah seminggu majlis resepsi pernikahan Elfira dan Muhammad Faris, kehangatannya masih terasa hingga ke saat ini sehingga masih ramai netizen yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah menerusi Instagram dan medium laman sosial lain.
Tidak ketinggalan, banyak syarikat besar turut tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi penaja termasuklah syarikat barangan kemas terkenal, Habib Jewels.
Bahkan Habib Jewels turut mengucapkan tahniah, namun foto yang dimuat naik menerusi laman Facebook syarikat itu begitu mengejutkan hingga tular dalam kalangan netizen kerana ia merupakan gambar majlis pertunangan Sufian dan Elfira pada Oktober 2017.
Mengakui kesilapan tersebut, pihak Habib kemudian memadam status berkenaan dan tampil membuat permohonan maaf.
Menurut kenyataan syarikat itu, kakitangan mereka yang bertugas tersalah memuat naik gambar.
“Pada mulanya saya juga agak terkejut dengan foto yang dimuat naik dan dikongsikan peminat menerusi Instagram dan Facebook.
“Apa yang membuatkan saya pelik hingga ke hari ini, masih ramai yang mengaitkan saya dengannya (Elfira). Bukanlah rimas kerana saya sendiri tidak terkesan dengan semua itu. Cuma, saya tidak mahu ia membuatkan mana-mana pihak berkecil hati,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Tidak cukup dengan itu, kehadiran bekas kekasih pelantun lagu Terakhir yang hanya dikenali sebagai Izyan pada majlis persandingan Elfira itu turut menjadi tular dan sedikit sebanyak terkena tempias kepadanya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai persiapan bagi Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada 3 Februari ini, Sufian memberitahu, buat masa ini, ia berjalan lancar seiring dengan latihan dan jadual kerja hariannya walaupun dikhabarkan mempunyai masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini.
“Saya akui ramai yang menanyakan perihal kesihatan. Ya, jujurnya kesihatan saya agak kurang memberangsangkan. Jadi, saya memohon doa daripada peminat agar saya kembali pulih, sekali gus dapat beraksi dengan baik pada AJL33,” ujarnya.
Tambah graduan Sarjana dalam jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu, dia malas untuk mengambil pusing dengan isu remeh yang melibatkan dirinya akhir-akhir ini. Katanya, dia hanya mahu memberi fokus sepenuhnya bagi AJL33 dan kerjaya seninya.
Sufian yang membawakan lagu Di Matamu pada AJL33 nanti bakal bersaing dengan 11 penyanyi hebat lain termasuk Siti Sarah, Altimet, Khai Bahar, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Misha Omar.