Pelakon Datuk Rosyam Nor meluahkan rasa sedih apabila digelar ‘barua’ oleh segelintir netizen di laman sosial kerana perniagaan RT Rosyam Mart.
Rosyam, 52, berkata dia mengakui mempunyai hanya 10 peratus saham dalam syarikat pasar raya tersebut dan selebihnya dimiliki Pengarah Sri Ternak Group Sdn Bhd, Datuk Raymond Ho Cheng Hann (89 peratus) dan adiknya, Alan Ho Cheng Yek (1 peratus).
"Perkataan 'barua' tu cukup menyedihkan saya dan juga keluarga. Lain-lain kecaman saya boleh terima. Sedih dan malu kerana niat nak bantu masyarakat Melayu untuk dapatkan barangan murah tapi lain jadinya.
"Saya tegaskan, saya bukan duta untuk ST Rosyam Mart seperti yang didakwa netizen di laman sosial. Saya mempunyai 10 peratus saham dan selebihnya milik Datuk Raymond dan adiknya.
"Selama ni pun saya tak pernah mengatakan ST Rosyam Mart ini adalah milik saya sepenuhnya. Tapi ia adalah gabungan saya dan syarikat Sri Ternak,” katanya.
Rosyam (tengah) membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa dirinya sebagai ‘barua Cina’
Rosyam ditemui ketika majlis sidang media pencerahan dan penjelasan isu ST Rosyam Mart di Dewan Sri Iskandar, Taman Setiawangsa pada Sabtu.
Selain Rosyam dan Raymond, sidang media itu turut dihadiri pihak pengarah Sri Ternak Grpoup, Ho Ah Chai.
Baru-baru ini tular di media sosial mendakwa pasar raya ST Rosyam Mart dimiliki oleh peniaga bukan Melayu yang mengaitkan Rosyam dipergunakan dalam perniagaan berkenaan orang bangsa lain.
Dalam pada itu, Rosyam telah membuat laporan polis terhadap individu yang menggelarkan dirinya 'barua Cina' sementara Ho Ah Chai juga membuat tindakan serupa kerana dituduh menjadi pengedar dadah.
"Saya terpaksa ambil tindakan membuat laporan polis sebab individu tersebut merosakkan nama Rosyam. Selain itu, saya turut buat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Mohd Fauzi yang menuduh Ho Ah Chai yang juga bapa kepada Raymond, bekerja sebagai pengedar dadah.
"Sebelum ini saya tak pernah ambil tindakan biarpun ada macam-macam dakwaan seperti menyatakan saya mencemuh kepimpinan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya malu dengan rakan kongsi saya. Sebab selama 70 tahun mereka dalam perniagaan runcit tak pernah menerima tuduhan dan fitnah seperti ini.
"Saya adakan sidang media ni pun untuk menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf kepada bapa Raymond atas dakwaan tersebut,” katanya.
Pasar raya ST Rosyam Mart yang dibuka 24 jam sehari mula beroperasi di Setiawangsa sejak pertengahan tahun lalu.
ST Rosyam Mart merupakan cubaan pertama pelakon filem KL Gangster 2 itu membuka pusat borong dengan usaha sama syarikat Sri Ternak.