Rezeki tertunda Luqman Faiz




Sekitar April tahun lalu, Luqman Faiz meluncurkan single perdananya yang berjudul Kepuraanmu. Ketika itu, dalam jiwa Luqman terbakar rasa berkobar-kobar. Dia mahu melihat karya ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu berdiri sama tinggi dengan lagu-lagu popular lain.

Begitupun, nasib kurang menyebelahi Luqman. Beberapa bulan selepas Kepuraanmu dilancarkan, ia dilihat gagal meraih perhatian peminat mahupun memanjat mana-mana tangga carta.

Kecewa dengan perkembangan tersebut, Luqman memutuskan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Ukur Bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak dua bulan kemudian.

Sehinggalah pada Oktober tahun lalu, Kepuraanmu dijadikan sebagai lagu runut bunyi drama bersiri Mawar Murni lakonan Saharul Ridzwan dan Fasha Sandha. Sejak penayangan drama tersebut, status Luqman sebagai penyanyi berubah secara total.

Mengakui pernah terbeban rasa bahawa nyanyian bukanlah untuknya dek kesukaran menempa nama sebagai penyanyi, Luqman, 19, bagaimanapun bersyukur kerana rezekinya dalam bidang muzik masih ada. Dia berharap, momentum yang diraih Kepuraanmu ketika ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

KOSMO!: Apa khabar Luqman? Selamat tahun baru. Bagaimana perkembangan anda? Khabarnya, lagu Kepuraanmu semakin hangat menduduki carta-carta radio?

LUQMAN: Khabar baik. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan respons pendengar.

Sejujurnya, saya benar-benar terharu kerana pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang nyanyian sebelum ini.

Mengapakah anda pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi?

Sewaktu lagu Kepuraanmu dipasarkan, saya masih baru dalam industri. Saya tidak popular di YouTube dan Instagram seperti beberapa penyanyi baharu lain. Apa yang saya ada hanyalah sebuah single. Ketika melihat sambutan hambar yang diterima, saya memutuskan untuk berhenti menyanyi. Bagi saya, jika tidak berjaya dalam sesuatu bidang, saya akan lupakan bidang tersebut dan beralih ke bidang lain.

Apakah perancangan anda pada waktu tersebut?

Pada waktu itu, saya merancang untuk sambung belajar ke peringkat diploma. Setelah membuat permohonan, saya diterima masuk menjalani kursus Ukur Bangunan di UiTM Seri Iskandar. Tetapi, rezeki Allah tidak pernah salah alamat. Selepas beberapa bulan di UiTM, lagu saya dijadikan runut bunyi bagi drama Mawar Murni. Sejak itu, nama saya mula dikenali dan ramai orang mula mendengar lagu tersebut di Spotify dan menonton klip videonya di YouTube.

Sepanjang anda berasa sedih dan kecewa, siapakah yang banyak memberi galakan?

Pihak pengurusan saya, Aries Music banyak memberikan kata-kata semangat. Pada masa yang sama, rakan baik saya, Haqiem Rusli turut memberi nasihat supaya jangan putus asa atau berhenti. Dia meminta supaya saya bersabar dan cuba lagi untuk single kedua.

Bagaimana pula dengan respons ibu anda mengenai perkara ini?

Sebenarnya, ibu agak terkilan kerana saya berhenti belajar sebaik sahaja lagu diterima ramai. Tetapi, saya tidak mahu mengecewakannya. Justeru, saya menyambung pengajian dalam bidang muzik di UiTM Shah Alam. Selain kursus ini lebih ringan berbanding kursus sebelumnya, kampus juga lebih dekat dengan rumah.

Setakat ini, bagaimanakah progres kerjaya nyanyian anda?

Saya berasa sangat senang hati kerana jadual saya semakin padat. Kemudian, saya juga bakal muncul dengan lagu baharu tidak lama lagi. Saya berharap agar 2019 dapat memberikan momentum yang lebih besar terhadap kerjaya saya, insya-Allah.

Lagu anda pernah menduduki tangga kedua dalam carta Muzik Muzik. Adakah anda mahu melihat lagu ini mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL)?

Melihat lagu sendiri menduduki tangga carta Muzik Muzik pun sudah cukup membanggakan, apatah lagi kalau di pentas AJL. Saya tidak mahu terlalu berharap, tetapi tidak salah rasanya jika saya memasang impian untuk menyaksikan Kepuraanmu mara sehingga ke peringkat itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post