Terkilan Awie menyifatkan pemberian bonus daripada penerbit filem Hantu Kak Limah sebagai tidak memadai dengan keuntungan pencapaian yang diperoleh hasil jualan tiket naskhah berkenaan.
Sewaktu filem Hantu Kak Limah berjaya meraih kutipan sebanyak RM38 juta, banyak pihak mengandaikan industri perfileman tempatan bakal kembali bangkit.
Masakan tidak, sejak kejayaan filem arahan Mamat Khalid tersebut, beberapa filem tempatan lain yang ditayangkan turut meraih jumlah kutipan yang sangat membanggakan.
Bagaimanapun, rasa kebanggaan yang masih lagi bertebaran langsung tidak hinggap dalam jiwa pelakon utama Hantu Kak Limah, Datuk Awie.
Bukan tidak gembira melihat kejayaan naskhah lakonan sendiri, namun menurut Awie, jiwanya terguris apabila keringatnya sebagai pelakon kurang dihargai.
Katanya, biarpun syarikat penerbitan Hantu Kak Limah, Infinitus Productions mengaut keuntungan berlipat kali ganda, namun imbuhan berupa wang bonus yang diterima dirasakan kurang setimpal.
Bonus
“Saya bukanlah seorang pelakon yang tidak tahu bersyukur tetapi, wang bonus yang saya terima tidak setimpal dengan kesungguhan saya sewaktu melakonkan watak Hussin dalam Hantu Kak Limah,” katanya memulakan bicara.
Menurut Awie atau nama sebenarnya, Azhar Othman, 50, tidak hanya dia seorang, pelakon lain dan kru belakang tabir juga menerima imbuhan dengan jumlah yang sangat menyedihkan.
“Jika saya rasa wang bonus ini sedikit, bayangkan wang yang diterima oleh kru dan pelakon yang sama-sama menjayakan Hantu Kak Limah.
“Sejujurnya, perkara ini tidak patut terjadi. Mereka seperti mementingkan diri apabila sudah untung banyak,” kata Awie sambil memberitahu bahawa dia menerima jumlah wang imbuhan yang sama sewaktu filem sebelumnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah meraih kutipan tiket sebanyak RM8 juta.
Kongsi Awie, dia berani untuk tampil bersuara kerana mengenangkan nasib dan masa depan industri perfileman jika perkara sebegitu terus berlaku.
“Adakah ini nilai artis lokal yang telah berjaya menaikkan nama sesebuah filem? Adakah ini masa depan artis-artis tanah air kita?
“Saya tidak melihat kita akan bergerak jauh jika kita terus bergantung harap pada penerbit luar yang tidak tahu menghargai bakat seni yang kita ada,” katanya dalam nada hampa.
Awie menambah, sutradara Hantu Kak Limah, Mamat Khalid pernah cuba untuk meminta imbuhan yang setimpal dengan keuntungan pihak produksi. Bagaimanapun, usaha pengarah kelahiran Perak itu ternyata sia-sia.
Penghargaan
“Abang Mamat pernah menyuarakan pendapatnya mengenai perkara ini dan cuba untuk membela nasib pelakon dan kru belakang tabir.
“Namun, tiada sebarang perkembangan positif daripada perbincangan tersebut,” kata Awie lagi.
Ditanya mengenai kontrak, Awie berkata, sepatutnya soal imbuhan perlu ada dalam perjanjian, tidak kira syarikat berkenaan merupakan syarikat produksi tempatan atau luar negara.
“Sebelum memulakan sesi penggambaran, kita berurusan atas dasar kawan tetapi apabila sudah mengaut untung berjuta-juta, tiba-tiba kami jadi lawan.
“Apa salahnya usaha kami dihargai? Kami pun hidup tidak lama. Sekurang-kurangnya, kami tahu ada pihak yang betul-betul menghargai bakat kami,” ujar Awie.
Tambah Awie, rasa kecewanya semakin bertambah apabila produksi filem lain yang berjaya meraih keuntungan besar mampu memberi ganjaran setimpal kepada pelakon terlibat.
“Jika penerbit lain boleh memberi lebih, kenapa Infinitus tidak?
“Saya agak malu sebenarnya untuk bercakap lebih tetapi ini adalah hakikatnya,” ujar Awie lagi.
Disoal berhubung kesanggupannya untuk berlakon dalam francais Hantu Kak Limah pada masa akan datang, ini jawapan Awie:
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid. Bila-bila masa sahaja saya okey.
“Cuma, kalau boleh, filem tersebut bukan diterbitkan oleh syarikat produksi yang sama. Jika penerbitnya masih sama, matikan saja watak Hussin,” tegas Awie.
Persembahan
Dalam perkembangan terkini, Awie kini sedang membuat persiapan bagi persembahan majlis makan malam Dinner GIG 2018 yang bakal diadakan di Ballroom Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 7 Disember depan.
Uniknya, persembahan makan malam tersebut turut menampilkan Ratu Rock negara, Ella dan penyanyi Black.
Mengulas mengenai pemilihannya sebagai bintang untuk menghiburkan penonton, Awie mengakui bersyukur kerana bakat nyanyiannya masih dipercayai oleh pihak penganjur.
“Sudah 33 tahun saya bergelar penyanyi dan alhamdulillah, saya masih lagi dipanggil untuk membuat persembahan dan menghiburkan penonton pada acara-acara tertutup.
“Selain rezeki, saya lihat ia sebagai satu kepercayaan yang diletakkan oleh khalayak terhadap kualiti dan gaya persembahan saya selama ini,” katanya.
Tambah Awie, dia turut berasa sangat terharu kerana peminatnya sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya nyanyiannya.
“Mereka membesar bersama-sama lagu Wings dan karya solo saya. Jadi, dalam setiap kali persembahan, saya akan cuba memberikan yang terbaik kepada mereka,” katanya lagi.
Berkenaan dengan persembahannya pada malam tersebut, Awie masih belum memutuskan senarai lagu yang akan dinyanyikan.
“Saya diberikan slot masa selama setengah jam. Jadi, untuk tempoh waktu tersebut, saya akan menyanyi sebanyak lima buah lagu.
“Namun, saya masih belum memutuskan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan dan kemungkinan besar, saya akan berduet dengan Ella,” tutur Awie.
Tiket-tiket berharga RM250 hingga RM500 (meja untuk 10 orang) boleh didapati menerusi talian 010-761 6844 atau di laman web www.stubapp.com.