
Pelakon dan penerbit popular, Datuk Hans Isaac mengakui namanya telah disenarai pendek sebagai calon Pengerusi bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Hans, 47, bagaimanapun memberitahu tidak dapat mengesahkan lagi jawatan berkenaan kerana sedang menunggu pengumuman dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
“Benar saya ada menghadiri beberapa siri temuduga lebih kurang sebulan lalu, tetapi saya belum tahu keputusannya lagi.
“Selain saya terdapat beberapa individu lain yang hadir dalam temuduga tersebut. Setahu saya, surat lantikan ahli lembaga sudah dikeluarkan cuma menunggu pengumuman dari kementerian,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar Dewi Remaja di sini sebentar tadi.
Tambah Hans, sekiranya beliau diberi peluang menjadi peneraju utama Finas, sebanyak 15 dasar baharu akan diperkenalkan bagi menaikkan semula industri hiburan tanah air.
“Antara perkara yang saya akan lakukan kalau diberi peluang menjadi pengerusi adalah mewujudkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penggiat industri.
“Bahkan tiada lagi masalah kroni dalaman bagi memastikan kesamarataan kepada semua penggiat yang selama ini bertungkus lumus membangunkan industri kita,” katanya.