Dua hari emosi di Instagram, Alyah buka mulut




Selepas meninggalkan komen yang mengejutkan di laman Instagram suaminya Datuk Ramli MS baru-baru ini dan menimbulkan banyak spekulasi dalam kalangan khalayak, Alyah akhirnya membuka mulut dan membuat penjelasan.

Menerusi kemas kini di Instagramnya, penyanyi lagu Jutaan Purnama itu menjelaskan dia sudah sedia maklum dengan akibat yang bakal berlaku sebelum menulis komen berkenaan.

“Sebelum saya turunkan komen saya di Instagram si dia (merujuk kepada Ramli MS), saya sudah tahu akibatnya.

“Saya sangat pasti dengan apa yang saya buat kerana saya bukan kanak-kanak yang baru dapat telefon,” katanya menerusi ruangan kapsyen.

Ahad lalu, Alyah menulis komen berbaur sindiran pada video yang dimuat naik oleh Ramli MS menerusi Instagramnya.

Menerusi video berkenaan, pengacara Gegar Vaganza 5, Nabil Ahmad dan Jihan Muse membuat ucapan hari jadi kepada Ramli dengan mengikut gaya sembahyang agama lain.

Alyah menulis komen dan menjelaskan sambutan sedemikian yang digemari suaminya berbanding bacaan al-Quran yang dibuat untuknya di rumah.

Komen tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada peminat.

Ada yang menyifatkan tindakan Alyah sebagai tiada adab kerana tidak menghormati dan membuka aib suaminya kepada orang ramai.

Alyah turut menjelaskan, dia menulis komen berkenaan kerana dia mengalami hari yang buruk.

“Sepanjang 12 bulan, pasti ada antara kita mengalami hari yang buruk.

“Saya anggarkan dua hari lepas adalah hari terburuk saya untuk sepanjang tahun ini,” katanya.

Dalam masa sama, Alyah turut menegaskan yang dia tidak akan menjawab segala persoalan tentang masalah rumah tangganya pada masa depan.

“Selama lapan tahun, hanya saya sahaja yang menjawab segala persoalan dari mengenai rumah tangga.

“Hari ini saya ingin memberitahu yang saya tidak akan lagi menjawab segala soalan mengenai rumah tangga saya mahu pun mengenai (si dia). Terpulang bagaimana kamu mahu mentafsirkan,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post