Sufian Suhaimi fokus bidang muzik




Peluang - Menyifatkan persaingan dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik amat sengit dari segi vokal, namun Sufian percaya ada peluang cerah jika lagunya dinilai dari segi lirik kerana ia mempunyai kisah tersendiri.

Sewaktu meluncurkan single perdananya yang berjudul Terakhir sekitar dua tahun lalu, Sufian Suhaimi sedang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mengikut telahan awal lelaki berusia 26 tahun itu, fokus utamanya adalah terhadap bidang pelajaran dan dia hanya ingin mencuba nasib sebagai penyanyi, memandangkan muzik merupakan lapangan seni yang paling akrab dengannya sejak zaman persekolahan.

Tanpa disangka, khalayak memberi respons yang baik terhadap lagu tersebut selepas beberapa bulan ia dipasarkan. Buktinya, selain dijadikan runut bunyi drama bersiri Duda Terlajak Laris, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu turut menduduki tangga teratas di carta-carta radio tempatan.

Disebabkan popularitinya naik mendadak, Sufian terpaksa memperlahankan pembelajaran bagi memberi ruang terhadap karier nyanyian yang semakin berkembang.

Disebabkan itu, program Ijazah Sarjana yang sepatutnya tamat dalam tempoh setahun setengah terpaksa dilanjutkan.

“Sepatutnya, saya boleh bergraduasi dengan lebih awal. Tetapi, tidak sangka pula karier nyanyian berkembang dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, penantiannya untuk menggenggam Ijazah Sarjana berakhir bahagia apabila Sufian berjaya menamatkan pengajian selepas hampir dua tahun setengah menelaah pelajaran.

Lega

“Saya berasa sangat lega kerana berjaya menamatkan pengajian kerana semester terakhir merupakan semester penting yang menentukan keputusan keseluruhan. Jika saya gagal pada semester itu, saya akan gagal secara keseluruhan.

“Tambahan pula, banyak hal peribadi yang kebetulan berlaku pada waktu itu. Jadi, apabila segalanya sudah berakhir, saya berasa sangat bersyukur,” katanya sambil tersenyum.

Sufian yang ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan finalis Separuh Akhir Muzik Muzik di ibu kota baru-baru ini menambah, prioriti utamanya adalah bidang muzik.

Namun, Sufian tidak menolak jika suatu hari nanti, dia akan menceburi bidang pendidikan secara sepenuh masa dan bergelar pensyarah.

“Saya tidak menolak kemungkinan jika saya akan bergelar pensyarah komunikasi suatu hari nanti. Tambahan pula, saya sudah mula menerima tawaran daripada beberapa universiti tempatan untuk melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah.

“Cuma, bukanlah sekarang. Jika betul saya mahu sambung pengajian, saya akan memberikan fokus sepenuhnya,” ujar Sufian yang menganggap bidang pendidikan mampu menjamin masa depannya dari segi kestabilan karier dan kewangan.

Melanjutkan perbualan, Sufian menjelaskan bahawa pendidikan merupakan satu perkara yang wajib ada dalam kehidupan, terutama golongan selebriti.

“Bagaimanapun, saya perlu meletakkan keutamaan yang betul. Sijil pelajaran tidak semestinya dikejar secepat mungkin. Ilmu boleh ditimba apabila saya benar-benar bersedia.

“Pelajaran yang akan membantu kita pada masa depan, dan pada pendapat saya, lebih baik menjadi penghibur yang mempunyai pelajaran dan sentiasa mengejar ilmu,” kongsi Sufian lagi.

Ditanya tentang respons ibu dan bapa selepas dia berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana, Sufian berkata, mereka sentiasa positif berhubung pilihannya dalam menentukan karier.

“Mereka tidak meminta saya untuk berhenti menyanyi. Mungkin mereka lihat saya seronok menyanyi dan dari situ, timbul keyakinan bahawa karier saya ini mampu menjamin masa depan,” katanya sambil tersenyum.

Jangka

Berbicara mengenai lagu Di Matamu yang lolos ke Separuh Akhir Muzik Muzik pada tahun ini, Sufian menjelaskan yang sudah dapat ‘mencium’ kemungkinan lagu tersebut akan pergi sejauh ini.

Menurut Sufian, hal tersebut disebabkan oleh impak dan fenomena luar biasa cetusan karya yang turut dicipta oleh Sirkhan dan Rinkarnaen itu.

“Apabila melihat sambutan yang diterima sejak hari pertama lagu Di Matamu dilancarkan, saya sudah dapat agak ia boleh pergi ke separuh akhir.

“Tetapi, apabila melihat lagu-lagu lain yang dipertandingkan, saya mula sedar bahawa Separuh Akhir Muzik Muzik pada tahun ini akan menjadi sangat sengit dan ia bakal berlanjutan pada pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33),” katanya sambil tersenyum.

Berhubung persediaan menjelang minggu separuh akhir, Sufian tidak mahu terlalu lasak sehingga menjejaskan kesihatannya.

“Sebelum ini, saya sering jatuh sakit dan tekak saya kerap berdarah. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan supaya dapat memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya yang turut akan mengelak makan makanan yang boleh menjejaskan keadaan tekaknya.

Biarpun masih awal untuk menebak, Sufian yakin bahawa lagu Di Matamu mempunyai peluang untuk bersaing di pentas AJL33.

“Lagu ini berada dalam kelas tersendiri. Melodi dan liriknya kuat, disebabkan itu, ia cepat diterima khalayak.

“Untuk bersaing dari segi vokal, mungkin ada yang lebih perkasa. Tetapi, untuk bersaing dengan lagu-lagu yang mempunyai kisah di sebaliknya, mungkin saya ada sedikit peluang di situ,” tutup Sufian.

Post a Comment

Previous Post Next Post