Jalil Hamid pertahankan survival pelakon veteran




Jalil mengharapkan masa depan pelakon veteran terjaga demi kelangsungan hidup. Tahun ini, dua buah karya lakonan beliau iaitu telefilem Cucu Atuk dan filem Bisik Pada Langit tercalon dalam Anugerah Skrin 2018.

Luahan kekecewaan ditawarkan bayaran murah bukan bermaksud pelakon veteran, Jalil Hamid mendabik dada sementelah beliau memiliki lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang lakonan.

Bukan sahaja pengalaman luas dalam industri seni tempatan, bahkan aktor berusia 61 tahun itu pernah diiktiraf dengan trofi berprestij antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin pada tahun 1995 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (1992).

Jalil atau nama lengkapnya Abdul Jalil Abd. Hamid mengakui tindakan berkongsi luahan sebegitu pasti akan mengundang padah selain berdepan dengan ‘kekeringan’ tawaran lakonan.

Namun, segala kemungkinan tersebut telah difikirkan semasak-masaknya. Beliau juga yakin, telah tiba masa untuk meluahkan segala yang terbuku di hati agar ia tidak berulang kepada pelakon veteran lain.

Pada masa sama, aktor filem Bisik Pada Langit itu juga mempersoalkan masa depan pelakon veteran dalam meneruskan kelangsungan hidup, sekiranya golongan itu kekal menerima bayaran tidak setimpal dengan kualiti lakonan.


KOSMO!: Bolehkah Jalil jelaskan mengenai tawaran bayaran lakonan serendah RM1,500. Apakah yang membuatkan anda berasa terkilan?

JALIL HAMID: Saya tidak bermaksud untuk berlagak kerana sedar taraf sebagai pelakon veteran.

Tetapi, untuk terlibat dalam sebuah telefilem dengan 16 adegan keseluruhan, namun 12 daripadanya melibatkan saya, ia agak banyak dan bukan satu tugas mudah biarpun sekadar membuat penampilan istimewa.

Apabila mendengar jumlah bayaran sebegitu, saya berasa sedih, pilu dan terhina kerana terfikir, adakah itu nilai seseorang pelakon veteran tempatan.

Dahulu, ketika masih dalam usia 30-an saya pernah mendengar luahan pelakon senior seperti Allahyarham Tamam Idris yang hanya menerima bayaran berjumlah RM800 untuk lapan hari penggambaran.

Setelah menghebahkan perkara tersebut, adakah pihak produksi berkenaan tampil membuat permohonan maaf atau menambah jumlah bayaran?

Tidak dinafikan, mereka ada membuat panggilan untuk bertemu tetapi tiada gunanya lagi. Saya juga tidak akan menjelaskan secara terperinci mengenai identiti pihak berkenaan.

Cukup sekadar usaha saya untuk mempertahankan hak pelakon veteran tempatan. Saya juga mempersoalkan nilai seseorang pelakon veteran itu. Betul, mereka sudah tua, tidak cantik, tidak kacak tetapi yang ada hanya bakat.

Kami tiada kontroversi, yang ada mungkin penyakit tetapi adakah ini cara untuk melayan pelakon veteran.

Adakah ini pertama kali anda berhadapan dengan permasalahan sedekimian?

Tidak, perkara seperti ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini. Tetapi, saya hanya bersabar sehingga ke hari ini kerana berasa sudah tiba masanya untuk bersuara.

Saya sedar sekiranya bersuara kemungkinan untuk mendapat tawaran bekerja pada masa akan datang tidak ada. Sejujurnya saya telah bersedia kerana yakin rezeki milik Allah. Saya percaya pada ketentuan takdir.

Anda sedar tentang risiko kehilangan tawaran berlakon, tetapi mengapa masih lantang menyuarakan hal tersebut?

Saya sedar tentang segala kemungkinan tetapi seperti yang dikatakan, saya telah bersedia dan enggan perkara sama berulang.

Sudah tiba masanya industri saling bekerjasama dan memberi peluang sama rata kepada semua pelakon termasuk artis veteran.

Mungkin ada yang mudah menghakimi kesusahan hidup pelakon veteran berpunca daripada sikap tidak berjimat sewaktu muda, situasi hidup pelakon seperti kami yang tiada bekalan masa depan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini mungkin tidak difahami semua.

Mustahil untuk dikatakan bahawa duit simpanan hasil lakonan akan kekal sampai ke hari tua.

Sebagai pelakon veteran, apakah bantuan yang boleh anda lakukan agar kejadian sebegitu tidak lagi berulang?

Saya tidak mampu untuk mengubah apa-apa, tetapi sekadar berharap semua pihak dapat bekerjasama dan saling membantu agar perkara seperti ini tidak berulang pada masa depan.

Saya mencadangkan agar pelakon veteran ini disediakan satu slot atau watak dalam drama sebagai memberi peluang untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Pemilihan boleh dilakukan secara bergilir-gilir agar semua dapat menerima peluang sama rata. Setidak-tidaknya, sebelum mereka tiada, kita ada membantu meringankan beban serta membahagiakan mereka pada saat-saat akhir.

Tidakkah anda merujuk mahupun mendapatkan bantuan daripada sebarang persatuan atau pertubuhan selebriti tempatan?

Saya enggan menuding jari apatah lagi menyalahkan sesiapa. Apa yang saya pinta ialah mohon kerjasama dan saling berganding bahu bagi membantu golongan artis veteran.

Untuk artis macam saya yang telah lebih 40 tahun dalam industri, apa lagi yang boleh dilakukan selain daripada berlakon kerana itu sahajalah kemahiran yang ada.

Pada usia begini (61 tahun), pekerjaan bagaimana sesuai dilakukan melainkan daripada meneruskan apa yang telah diusahakan sejak 40 tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post