
Shiver - Bunkface memilih tarikh 18 Oktober pada pukul 6.10 petang atau 18.10 (dalam kiraan waktu 24 jam) untuk melancarkan single terbaharu mereka berjudul Shiver.
Bagi sesetengah anak seni, mencecah usia 12 tahun berada dalam industri mungkin sudah cukup matang untuk meletakkan diri dalam kelas tersendiri.
Bagaimanapun, berlainan pula dengan falsafah yang dipegang kumpulan muzik pop rock punk popular, Bunkface.
Biarpun sudah selayaknya dilihat sebagai ikon dalam penghasilan karya punk dan pop rock serta dijamin menyengat telinga pendengar, namun kumpulan yang dibarisi oleh Sam, Paan dan Youk itu tetap tidak mahu meletakkan posisi mereka dalam zon selesa.
Memegang formula perlu sentiasa bersaing dengan pendatang baharu yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, Bunkface lantas mengambil risiko membuat eksperimentasi menerusi karya berjudul Shiver yang dilancarkan baru-baru ini.
“Shiver antara lagu pertama yang saya cipta untuk album kami akan datang. Ia telah dihasilkan sejak empat tahun lalu ketika isteri saya sedang mengandung
“Lagu ini boleh dianggap sebagai perubahan dalam muzik Bunkface jika dibandingkan dengan karya sebelum ini. Pendek kata, Shiver tidak terikat pada hanya sebuah genre tetapi merupakan campuran daripada pelbagai jalur muzik yang ada,” kata Sam ketika majlis pelancaran lagu berkenaan di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menariknya, single baharu yang turut mendapat suntikan daripada penerbit Izzy Musa tersebut merupakan buah tangan Bunkface selepas enam tahun tidak muncul dengan karya dalam bahasa Inggeris.
Kongsi pemilik nama penuh Shamsul Anuar itu lagi, eksperimentasi berkenaan sengaja dibuat kerana mereka harus bebas tanpa terikat dengan mana-mana genre.
“Tidak adil untuk kami hanya kekal pada satu jenis muzik sahaja. Begitupun, kami tidak tukar sepenuhnya, kami cuma buat eksperimen dan harap ia dapat diterima peminat,” katanya.
Relevan
Menyokong kata-kata Sam, Farouk Jaafar atau Youk menjelaskan, Bunkface juga mahu terus relevan seiring dengan revolusi industri muzik sekarang.
Justeru, masing-masing perlu membuang ego dengan menerima ‘kepala’ baharu iaitu campuran idea daripada Izzy Musa agar misi menghasilkan karya yang segar tercapai.
“Kami bermain dengan isu kerelevanan industri muzik sekarang. Kami rasa patut berada dalam satu peringkat bahawa muzik kami relevan untuk semua lapisan masyarakat.
“Jika sebelum ini semua karya dihasilkan oleh kami bertiga, tetapi untuk Shiver kami meminta bantuan Izzy selaku penerbit bersama.
“Ketika itu kami membuang semua ego dan meminta semua orang mencampakkan idea tanpa sebarang syarat. Dengan adanya pertambahan orang baharu, secara tidak langsung memberi perubahan terhadap muzik kami,” terangnya teruja.
Ditebak soal risiko yang bakal dihadapi, Paan atau nama panjangnya Ahmad Farhan yang sekadar mendengar dari awal pertemuan mula terus bersuara. Kongsi Paan, mereka tidak mahu berada dalam zon selesa.
“Kami mahu kembali ke zaman kami bermula dahulu. Kami kaji muzik, kemudian hasilkan ia tanpa sebarang jaminan lagu berkenaan bakal meledak atau tidak.
“Bukannya apabila sudah 12 tahun, kami perlu berada dalam kelas tersendiri dan memainkan muzik sama tanpa perubahan. Kami tidak mahu digelar legenda atau otai,” terangnya pula.
Album
Terus rancak bercerita, Sam kemudian bercakap tentang perancangan album terbaharu Bunkface yang dikhabarkan bakal menemui peminat pada tahun hadapan.
Sambil tersenyum, vokalis itu menjanjikan sebuah karya yang penuh kejutan dengan pengisian lapan buah judul terdiri daripada lagu Melayu dan bahasa Inggeris.
Setakat ini, lagu Shiver, Kembali dan Apa Pun Tak Boleh yang menampilkan gandingan Datuk Jeffrydin dan Caprice akan dimuatkan dalam album tersebut.
“Selepas Shiver, kami akan melancarkan sebuah lagi lagu Melayu berjudul Setiap Malam Aku Bersamamu dan kemudian baru kami akan melancarkan album.
“Apa yang boleh dijanjikan, album baharu kami ini penuh dengan kejutan. Kami juga merancang untuk mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan album ini,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Bunkface turut ditanya soal menubuhkan sebuah band junior sebagai penyambung legasi muzik mereka.
Tidak menafikan pernah memikirkan idea berkenaan, mewakili Bunkface, Sam bagaimanapun mengakui mereka belum bersedia ke arah sebegitu kerana masih banyak perkara selekoh dunia muzik yang hendak diterokai.
“Kami tidak mahu menjadi mentor kerana belum bersedia. Kami menganggap Bunkface perlu sentiasa bersaing dengan penyanyi baharu yang lain, bukan menjadi mentor.
“Pernah sahaja beberapa stesen televisyen menjemput saya untuk menjadi juri dalam pertandingan, tetapi saya menolak kerana merasakan diri masih belum layak duduk di kerusi itu,” tuturnya menutup bicara.
Beranggapan tiada syarat atau format khas harus diikuti dalam pembikinan sesebuah muzik, Bunkface kini tampil dengan suntikan elemen muzik baharu yang lebih segar menerusi single Shiver.