Syamel Bukan lagu sindiran


Tidak pernah terlintas di fikiran penyanyi muda ini untuk menyindir sesiapa menerusi single baharunya, Kau Pun Sama. Jauh sekali mahu bercerita soal pengalaman sendiri.

Yang terlintas tatkala mencipta melodi dan liriknya adalah kisah-kisah rakan sekeliling yang singgah di dalam benaknya.

Bagi Syamel, tidak perlu untuknya mencipta lagu bagi memerli sesiapa. Cuma dia tidak dapat mengawal perasaan segelintir pihak yang mungkin terasa hati dengan lagunya itu.

Terkenal dengan seleksi lagu balada yang menjadi ‘makanannya’, dia mahu mencuba sesuatu yang lebih segar dan tampil dengan lagu yang catchy.

Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi balada semata-mata, dia mahu mewarnai kanvas seninya dengan pelbagai genre yang akan kekal menjadi khazanah kerjaya.

“Saya bukan jenis orang berdendam atau sengaja mencipta lagu untuk perli orang. Lirik itu lebih kepada pengalaman orang terdekat dan pemerhatian saya.

“Saya cuba mencipta lagu yang memberi motivasi dan paling penting, mahu keluar dari kepompong pemikiran segelintir pihak yang saya hanya boleh menyanyi lagu balada bernada tinggi.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu lagi menyanyi lagu begitu, tetapi saya mahukan muzik yang trend sekarang. Memang saya menunggu saat ini untuk hadir dengan lagu seperti Kau Pun Sama,” katanya.



Berkampung selama lima hari dengan rakan komposer Kidd Santhe agar dapat melahirkan muzik yang tepat dan kena dengan jiwanya, Syamel akui, single baharunya itu banyak dipengaruhi muzik bintang Hollywood, Marc Anthony dan Bruno Mars.

“Semuanya bermula apabila saya menyaksikan konsert Bruno Mars di Malaysia baru-baru ini. Yang saya perasan, dia bukan hanya menyanyikan lagu balada tetapi lagu-lagu rancak yang boleh memberi warna dalam konsert tersebut.

“Jadi saya memperuntuk selama lima hari dalam studio dan hasilkan lagu Kau Pun Sama. Alhamdulillah, proses rakaman sangat pantas dan hasilnya juga memuaskan hati.

“Kalau boleh saya mahu hasilkan lebih banyak lagu begini cuma risau juga (menyanyikan) lagu rancak sebab kena menari. Takkan hendak kaku atas pentas, jadi kena banyak berlatih menari supaya stamina untuk menyanyi dan menari sentiasa tinggi,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Menolak untuk mencipta kontroversi dengan menjual gimik atau membuat cabaran seperti artis lain, Syamel mahu lagunya diterima tanpa memerlukan bantuan modus operandi seperti itu.

“Ramai buat cara begitu, jadi kalau saya lakukan perkara yang sama, tak ada bezanya nanti. Boleh sahaja kalau nak buat, bukan saya kritik atau cakap tak bagus cuma saya memilih untuk tidak melakukannya.

“Saya harap lagu ini diberi peluang di pentas-pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu. Nampak seperti sebuah lagu ringan tetapi saya hendak persembahkan lagu ini dengan cara berbeza,” tambahnya.



Belum terbuka untuk berlakon

TIGA tahun berjuang dalam dunia seni nyanyian, Syamel mengakui, dirinya masih belum terbuka untuk terjun ke bidang lakonan atau pengacaraan sementelah dia sendiri baru bertatih menyanyi.

Walaupun suara dan kekuatan vokalnya sering mendapat pujian melambung daripada peminat serta penggiat seni tempatan, namun dia tetap merendah diri dan sedar banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

“Tidak dinafikan tawaran berlakon itu memang ada tetapi buat masa sekarang, saya masih belum bersedia. Saya seboleh-bolehnya mahu fokus kepada nyanyian terlebih dahulu, biar pelakon hebat meneruskan kerjaya mereka.

“Memang ada sebilangan yang berkata, peluang jangan ditolak tetapi ada pula yang cakap, kalau menyanyi dan berlakon itu tamak. (Tapi) Saya nak kukuhkan nama dalam dunia nyanyian dulu, baru cuba bidang lain.

“Lagipun sekarang ramai penyanyi baharu jadi kena bijak atur langkah. Satu persaingan sihat dan masing-masing ada identiti serta perjuangan sendiri. Nantilah bab-bab berlakon ini,” kata penyanyi lagu Hidup Dalam Mati ini.

Sering dilabel sebagai ‘teman lelaki’ penyanyi, Ernie Zakri gara-gara rapat sebagai rakan duet lagu Aku Cinta, buat kesekian kalinya Syamel menafikan mereka menjalinkan hubungan cinta.

Kekal sebagai sahabat yang saling bertukar ilmu serta pandangan, anak muda berusia 25 tahun ini menganggap Ernie sebagai rakan duet yang sangat bagus dan banyak membantunya.

“Kami kawan sahaja tapi saya tak kisah pun kalau ada orang kata kami bercinta atau apa sahaja. Dari zaman sekolah kita sudah terbiasa dengan gurauan sebegitu, jadi saya terbuka.

“Insya-Allah, kami akan keluarkan sebuah lagu duet baharu tidak lama lagi tetapi biar karier saya dan Ernie sebagai penyanyi solo berkembang dahulu. Lagipun masing-masing baru sahaja lancar single baharu.

“Ernie juga bakal melancarkan single baharu yang sepenuhnya digubah oleh saya. Pada masa sama, ada juga artis lain minta lagu tetapi kita tengok dulu macam mana,” katanya.



Post a Comment

Previous Post Next Post