Filem Kalla berdepan isu pengarah tarik diri


Belum lagi menjengah pawagam, filem bergenre seram suspen, Kalla terbitan Little Film Sdn. Bhd. sudah tercalit kontroversi apabila pengarah asal filem terbabit, Wan Hasliza Wan Zainuddin menarik diri daripada meneruskan pembikinan hingga selesai kerana tidak bersetuju dengan beberapa yang perkara diputuskan penerbit eksekutifnya, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim.

Menjelaskan isu berkenaan, Suhaimi berkata bagaimanapun menafikan berlaku pergaduhan atau bermasam muka dengan Wan Haslina kerana pengunduran dibuat secara bertulis dan profesional selepas penggambaran diselesaikan. Ujarnya, Wan Hasliza cuma meminta pihak produksi menggunakan nama samarannya, Alan Smithe untuk sebarang kredit.

“Dia menghantar surat peletakan jawatan sebagai pengarah sekitar bulan Ramadan lalu. Bagaimanapun, dia sempat menyelesaikan penggambaran, proses pos produksi diselesaikan oleh pengarah pos produksi iaitu Elman Wafi Ng Abdullah,” dedah Suhaimi.

Tuturnya lagi, ada beberapa perkara telah menjadi perdebatan bersama Wan Hasliza yang membuatkan pengarah itu mengambil keputusan menarik diri.

“Yang pertama, dia tidak bersetuju dengan pemilihan Ajai sebagai komposer untuk lagu runut bunyi (OST) berjudul Percayakan Hati Kita kerana sudah ada pilihan yang tersendiri.

“Dia juga mempunyai pasukan sendiri untuk proses pos produksi namun saya tidak bersetuju. Jadi, saya menghormati keputusannya untuk menarik diri,” kongsi Suhaimi usai majlis tayangan rasmi trailer filem berkenaan baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau berasa terkilan tentang ketidakhadiran Wan Hasliza pada majlis berkenaan dan penggunaan nama samaran sebagai pengarah, Suhaimi menegaskan tiada dendam antara mereka.

“Biarpun saya masih baru dalam dunia penerbitan filem namun saya ada pegangan sendiri untuk meneruskan kemaraan filem ini.

“Kalau diikutkan kehendak Wan Hasliza, besar kemungkinan tayangan filem ini akan ditangguhkan sehingga tahun hadapan. Saya menghormati keputusan dia dan saya kira, tanggungjawabnya sebagai pengarah sudah terlaksana,” ujarnya.



Tunda

Kos pembikinan Kalla berjumlah sekitar RM3 juta dan sekiranya tayangan ditangguhkan, akan berganda lagi kos tersebut. Tidak mahu hal sebegitu berlaku, sebagai penerbit, Suhaimi terpaksa mengikut acuan sendiri.

Kalla yang sepatutnya menemui penonton di pawagam pada September ini tetapi ditetapkan semula tayangan bermula 11 Oktober depan setelah perbincangan semula dengan pihak Skim Wajib Tayang,

Mengulas soal kutipan memandangkan penangan berbisa Hantu Kak Limah dan Munafik 2 yang menguasai panggung, Suhaimi enggan meletakkan sasaran.

Katanya: “Apa yang paling utama Kalla memuatkan jalan cerita menarik dan ia harus ditonton khalayak negara ini.”

Kalla mengisahkan Dr. Ezahar seorang profesor sejarah yang meneruskan pencarian isterinya setelah diisytiharkan mati dalam sebuah kejadian bangunan runtuh akibat serang bom pengganas.

Bermula dari situ, satu demi satu misteri terungkai dan Ezahar mula memahami banyak perkara yang tidak pernah terfikir olehnya selama ini.



Post a Comment

Previous Post Next Post