Sheryl Shazwanie cuba nasib dengan Perasaan


Sheryl Shazwani berharap kehadirannya dalam industri muzik tempatan diberi perhatian.

Tular apabila menyanyikan lagu saduran Kun Anta dendangan asal Humood AlKhudher sekitar tiga tahun lalu bagaimanapun tidak menjanjikan laluan mudah buat penyanyi, Sheryl Shazwanie.

Sepanjang tempoh berkenaan, dia sudah meluncurkan beberapa buah single seperti Hati-Hati Dengan Cinta, Potret Lebaran, Teratai Cinta dan terbaharu single berjudul Perasaan ciptaan Room None serta lirik ditulis oleh Iman Imran.

Mengakui penerimaan peminat terhadap kerjaya nyanyiannya masih perlahan, Sheryl bagaimanapun tidak pernah berputus asa dan akan terus membina nama. Katanya, menerusi single terkini, Perasaan, dia yakin untuk memahat nama dalam hati pendengar.

“Saya akui, sebelum ini banyak kekurangannya dari segi promosi dan komitmen saya sendiri kerana terikat dengan status sebagai pelajar.

“Dalam pada itu, mungkin genre yang saya bawa pada awal kemunculan agak kurang sesuai dengan vokal. Misalnya, single debut Hati-Hati Dengan Cinta bukan genre pilihan saya,” kata graduan Diploma Perakaunan, Universiti Selangor (Unisel) itu pada sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ditanya mengenai harapan terhadap single Perasaan, Sheryl terharu dengan sokongan peminat selepas tiga minggu klip video dilancarkan.

“Alhamdulillah, tiga minggu dilancarkan di YouTube, sudah mencecah sejuta tontonan. Saya berharap single kali ini dapat diterima ramai.

“Stesen radio seperti Hot FM dan Era FM pun semakin kerap memutarkan lagu tersebut, ” ujarnya.

Kini bernaung di bawah syarikat rakaman Music Valley Malaysia (MVM), Sheryl bercadang untuk merakamkan lagu duet dengan seorang penyanyi lelaki.



Duet

Kongsinya, kalau mengikut pilihan sendiri, dia ingin berduet dengan penyanyi lelaki tempatan idamannya iaitu Alif Satar. Bagaimanapun, dia akur dengan perancangan syarikat rakaman.

“Penyanyi lelaki yang akan jadi rakan duet mungkin Syafiq Farhain atau Ezad Lazim. Ia masih dalam perancangan dan saya teruja kerana ini merupakan single duet pertama saya,” katanya.

Diajak berbicara mengenai daya tahan penyanyi muda masa kini, Sheryl mendedahkan dia sendiri berdepan dengan masalah kerisauan melampau (anxiety) namun sudah semakin stabil.

“Saya selalu berdepan anxiety terutama apabila berjumpa dengan orang baharu atau melakukan persembahan di atas pentas. Saya risau andai tidak pandai menyesuaikan diri atau gagal melakukan yang terbaik.

“Namun anxiety yang saya alami tidaklah seteruk mana dan masih mampu dikawal. Syukur sistem sokongan saya seperti ibu bapa amat kuat. Lama-kelamaan, anxiety itu hilang dengan sendirinya,” jelasnya.

Sebelum menutup perbualan, Sheryl sempat berkongsi penyanyi-penyanyi yang memberi inspirasi terhadap dirinya. Antara penyanyi yang amat dihormatinya seperti Ariana Grande dan Charlie Puth.

“Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu We Don’t Talk Anymore melalui aplikasi Smule untuk satu pertandingan atas talian. Video nyanyian saya itu dikongsi oleh Puth di Facebook miliknya.

“Kalau penyanyi tempatan, saya amat menyukai Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yuna. Kalau penyanyi Indonesia, Datuk Rossa merupakan idola saya,” tutur Sheryl.



Post a Comment

Previous Post Next Post