Ismail Izzani belajar daripada kesilapan


Ilmu kehidupan Mengaku khilaf atas kesilapan diri, Ismail menganggap segala yang terjadi sebagai ilmu dan proses pembelajaran paling besar dalam hidupnya.

Sejak akhir-akhir ini, berita dan isu panas membabitkan golongan artis remaja popular atau lebih dikenali dengan nama singkatan Budak Baru Nak Up (BBNU) semakin kerap berlaku.

Jika memetik nama Haqiem Rusli, peminat sedia maklum dengan kisah gimik dan depresinya yang mengundang banyak kecaman ramai pihak beberapa bulan lalu.

Ibarat beralih tangan, kini giliran itu dipegang oleh penyanyi Ismail Izzani yang baru-baru dilanda kontroversi lebih dahsyat selepas tersebar gambar mesranya bersama pelakon Zarina Anjoulie.

Sedikit ringkasan isu itu, ia berlaku gara-gara pelakon Fathia Latiff memuat naik sekeping gambar mereka bertiga yang dipercayai diambil di sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota.

Dalam gambar tersebut, kelihatan Zarina yang tidak bertudung dan memakai pakaian seksi sehingga menampakkan baju dalamnya sedang memeluk mesra Ismail.

Meskipun foto itu telah pun dipadam oleh Fathia tidak berapa lama kemudian, namun ia tidak mampu menutup rasa ingin tahu peminat yang tertanya-tanya tentang status hubungan mereka.

Hampir seminggu kejadian tersebut berlaku, Ismail tidak pernah muncul dalam mana-mana media untuk menjawab isu itu dengan lanjut sehinggalah berkesempatan bertemunya pada Debaran Bintang Kecil 2018 Zon Semenanjung yang berlangsung di pusat beli-belah MyTOWN baru-baru ini.

Kata penyanyi berusia 18 tahun itu, sebolehnya dia tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berbangkit kerana baginya andai membuka mulut, impaknya sangat besar terhadap kes yang telah pun berlaku itu.

“Saya harap semua pihak bersabar untuk menanti sebarang kenyataan rasmi daripada saya. Bila, saya belum pasti tetapi demi menegakkan kebenaran, saya tidak menolak untuk melakukannya.

“Buat masa sekarang apa yang boleh saya katakan adalah diharapkan peminat jangan percaya bulat-bulat tentang apa yang dikeluarkan pihak tersebut.

“Diam saya tidak bermakna kalah atau salah. Cuma sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan hal ini, saya perlu berbincang dengan keluarga dan label terlebih dahulu. Cuma waktunya saya belum pasti bila,” ujarnya tenang.



Iktibar

Meskipun bergelar anak kepada bekas penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam dan banyak menerima nasihat daripada ibunya untuk menjaga diri sebelum masuk dalam industri, namun itu tidak menjadikan Ismail kalis daripada dihinggap kontroversi.

Akui penyanyi lagu Sabar itu lagi, baru kini dia sedar tentang nasihat yang diberikan wanita itu suatu ketika dahulu yang kini benar-benar telah menjadi kenyataan.

“Dulu mama pernah cakap, sebenarnya artislah yang akan cuba menjatuhkan artis lain. Bukannya orang luar. Jadi sekarang saya sudah percaya dengan kata-kata itu apabila ia sudah terjadi pada batang hidung sendiri.

“Betul kata orang, manusia hanya menyedari akan benarnya sesuatu perkara itu apabila ia sudah terjadi. Jadi saya ambil nasihat itu dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” ujarnya positif.

Selama 18 tahun melalui proses kehidupan, Ismail jujur mengatakan kes itu adalah perkara terbesar yang pernah terjadi pada dirinya.

Untuk itu, dia menyatakan khilaf dan perasaan kesalnya atas apa yang berlaku meskipun mengakui darah muda menjadikannya gemar meneroka perkara di sekeliling.

“Silapnya datang daripada diri sendiri. Saya akui tentang itu. Saya bukan sekadar telah mengecewakan mama dan keluarga, tetapi semua orang termasuk peminat. Bukan mudah untuk saya hadap perkara ini seorang diri tetapi saya cuba kuatkan diri. Walau bagaimana sekalipun, saya perlu hadapinya,” luahnya bernada kesal.



Impak

Ditebak dengan persoalan apakah kontroversi yang timbul itu adalah gimik daripadanya memandangkan dalam masa terdekat dia akan melancarkan lagu terbaharu, Ismail dengan tegas menolak dakwaan tersebut.

Dia sedar, perkara yang membabitkan maruah dan harga diri bukan boleh dibuat main atau diperjudikan sewenang-wenangnya.

“Minta maaf, saya tidak main gimik seperti ini. Sebab ia telah berkait dengan maruah, malu dan rezeki saya dalam bidang nyanyian,” jelasnya ringkas.

Mengulas lanjut mengenai single baharunya yang sepatutnya dilancarkan pertengahan bulan ini, Ismail berkata, ia terpaksa ditunda kerana terkesan dengan isu yang berlaku.

“Memang perancangan awal pada pertengahan bulan ini tetapi saya sendiri pun tidak dapat menjangka akan berdepan isu sebegini yang sedikit sebanyak mengganggu fokus.

“Buat masa sekarang saya mahu rileks dahulu dan biarkan perkara ini berlalu. Barulah saya boleh teruskan dengan kerja,” katanya yang mengaku kesal dengan kejadian tersebut.

Bukan sekadar fokus kerja yang terganggu, hakikatnya kontroversi itu turut memberi impak besar pada dirinya sehingga mengganggu emosi.

Sukar melelapkan mata pada waktu malam selain hanya tidur selama tiga hingga lima jam sehari antara kesan yang dilaluinya kini.

“Sebelum tidur, saya banyak terfikir tentang banyak perkara termasuk apakah yang mungkin akan berlaku pada keesokan harinya andai saya membuka mata.

“Jadi sedikit sebanyak membuatkan fizikal dan emosi saya terkesan akibat perkara ini sebab ia membuatkan hidup saya tidak tenteram,” ceritanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail yang mesra disapa Mael akan menjalani pembedahan membuang tonsil pada awal tahun depan selepas menerima nasihat daripada doktor.

Dia yang pernah dimasukkan ke wad pada Julai lalu akibat sakit sama disarankan melakukan pembedahan itu demi menjaga suaranya pada masa akan datang.

“Kemungkinan saya akan lakukan pembedahan pada awal tahun depan sebab sepanjang Januari hingga Mac, jadual saya tidak terlalu padat.

“Memandangkan tempoh untuk sembuh memakan masa berbulan-bulan, jadi saya fikir waktu itu adalah masa yang terbaik. Insya-Allah, doakan,” tutupnya mengakhiri perbualan.

Mengakui terkesan dengan kontroversi yang melandanya baru-baru ini sehingga terganggu emosi dan sukar tidur malam, Ismail Izzani perlahan-lahan cuba bangkit dari isu itu dan belajar tentang asam garam kehidupan bersandarkan kepada nasihat ibu.



Post a Comment

Previous Post Next Post