Sharnaaz Ahmad anggap anak rezeki paling indah


Kehadiran cahaya mata sulung dalam kehidupan pelakon Sharnaaz Ahmad memberi sinar bahagia terhadap rumah tangga yang dibina bersama isteri, Noor Nabila Mohd. Noor. Akuinya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, dia semakin menyesuaikan diri dengan peranan baharu sebagai seorang bapa.

Katanya, walaupun terpaksa bersengkang mata sehingga lewat malam untuk menjaga bayi lelaki yang dilahirkan pada tanggal 30 Ogos lalu itu, pengalaman tersebut merupakan perkara dan rezeki terindah yang berlaku dalam hidupnya.

Ditanya sama ada sudah mempunyai nama untuk putera yang diberi gelaran Baby J, pelakon filem Juvana itu mendedahkan dia dan isteri hanya akan berkongsi nama anaknya setelah seminggu usia bayi berkenaan.

Selain berbicara tentang pengalaman baharu bergelar bapa, dia yang kini hangat dengan drama terbaharu lakonannya, menerusi slot Akasia di TV3 berjudul Cinta Bukan Kristal, turut berkongsi pengalaman melakonkan karakter seorang hero berstatus bapa di samping dua heroin, Ayda Jebat dan Nina Iskandar.



Tahniah Sharnaaz kerana bergelar bapa baru-baru ini. Barangkali anda boleh kongsi pengalaman setakat ini dengan peranan baharu sebagai bapa?

SHARNAAZ: Alhamdulillah, terima kasih atas ucapan itu. Sebenarnya, saya masih lagi kekok dengan status baharu ini (sebagai bapa).

Bukan apa, ini cahaya mata pertama saya dan pada mulanya saya agak ‘pening-pening’ sedikit, namun setelah beberapa hari kelahiran anak, saya semakin menyesuaikan diri.

Waktu mula-mula, ingin pegang pun saya kekok kerana kepala bayi lembut. Cemas juga, namun lama-kelamaan keadaan semakin okey. Seperkara lagi, bersengkang mata sampai tengah malam sudah menjadi kebiasaan buat saya dan isteri kerana kami amat teruja untuk melihat kurniaan Ilahi ini setiap pagi pada keesokan harinya.

Sudah punya nama pilihan untuk putera sulung anda?

Sudah ada, namun saya dan isteri hanya akan mendedahkan nama setelah usianya mencecah tujuh hari mengikut sunnah. Pada hari ketujuh (esok) juga kami akan mengadakan majlis taknik dan Insya-Allah, kami akan berkongsi nama dengan orang ramai. Sudah tentu saya sifatkan kehadiran Baby J sebagai rezeki paling indah dalam hidup.

Maaf bertanya, adakah secara kebetulan tarikh lahir anda dan kelahiran cahaya mata jatuh pada tanggal yang sama atau bagaimana?

Tidak merancang apa-apapun, cuma kebetulan tarikh bersalin Nabila dijangka berlaku dekat dengan hari lahir saya. Kata doktor, untuk mengelakkan sebarang komplikasi lebih baik Nabila bersalin secara pembedahan. Alhamdulillah isteri selamat dan bayi dilahirkan sihat walafiat. Apabila menghabiskan masa dengan anak, saya lihat banyak persamaan di antara kami. Ia bukan hanya dari segi fizikal, bahkan dari segi tingkah laku. Sungguh hebat ciptaan Allah SWT, saya amat bersyukur dengan rezeki dan kurniaan ini.



Adakah dengan status baharu ini anda merancang untuk memperlahankan rentak sebagai seorang pelakon selepas ini?

Berlakon adalah sumber rezeki pertama dalam hidup saya. Jadi saya tidak akan lupa itu. Kalau ditanya sama ada akan memperlahankan kerjaya lakonan, saya rasa tidak kerana rezeki ini tetap akan berjalan dengan izin Ilahi.

Cuma, dengan kehadiran anak ini barangkali jadual saya sudah tidak lagi seperti dahulu, namun berlakon tetap akan saya lakukan termasuk kerjaya dalam bidang perniagaan.

Baiklah, boleh kongsikan sedikit keterujaan anda apabila drama terbaharu, Cinta Bukan Kristal semakin mendapat tempat dalam hati penonton?

Alhamdulillah, lebih kurang setahun saya tidak menerima sebarang tawaran drama episod. Saya faham isu yang dipaparkan dalam Cinta Bukan Kristal agak sensitif. Bukan semua orang setuju dengan poligami, namun poligami bukan satu kesalahan dalam Islam.

Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan dikritik melakonkan watak Adrian Hilman kerana sedar isu kahwin lebih daripada satu (poligami) sesuatu yang rumit, namun ia perlu disampaikan kepada penonton dengan cara yang benar.

Secara peribadi juga, sejak menceburkan diri dalam bidang seni, saya sudah kerap dikritik. Jadi sama ada melakonkan watak sedemikian atau tidak, saya tetap akan dikritik. Kita tidak boleh tutup mulut orang, jadi saya sudah biasa.

Post a Comment

Previous Post Next Post